SINTOK - Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin, 23, mencipta kejayaan di persidangan bertaraf dunia apabila kertas kerja yang dihasilkan dipilih sebagai kertas kerja terbaik di Asia World Model United Nations Virtual Conference MMXXI, yang berlangsung penghujung Mac lalu.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kewangan itu membentangkan kertas kerja bertajuk Krisis Ekonomi Global: Kesan Wabak Covid-19 pada persidangan tiga hari yang berlangsung secara atas talian itu.

Katanya, pengiktirafan yang diterima itu adalah di luar jangkaan kerana saingan yang diterima daripada peserta di seluruh dunia tidak kurang hebatnya.

"Saya mengambil masa selama seminggu untuk membuat penyelidikan dan menyiapkan kertas kerja bagi memenuhi tema yang ditetapkan penganjur iaitu Bangkit : Memerangi Krisis Dunia Melalui Kerjasama Global.

"Persidangan pada kali ini agak mencabar kerana saya perlu membentangkan kertas cadangan, kertas kerja dan draf resolusi serta dalam masa yang sama perlu menghadiri sesi kuliah secara atas talian," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Bagaimanapun, penuntut semester empat itu bersyukur kerana keluarga tidak putus-putus memberikan sokongan dalam memastikan beliau dapat memberikan hasil yang terbaik sepanjang persidangan itu.

Muhammad Saniy (dua dari kiri) ketika menyertai aktiviti di UUM.

Muhammad Saniy adalah antara 740 perwakilan antabangsa dari 58 negara yang menyertai seminar yang membincangkan mengenai Krisis Ekonomi Global berikutan daripada kesan pandemik Covid-19.

Penerima Anugerah Biasiswa Naib Canselor UUM itu berkata, persidangan berkenaan berperanan membantu Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengumpul maklumat, memberi nasihat dan menyeragamkan dasar-dasar serta mengkoordinasikan fungsi-fungsi dalam PBB yang bertindih.

"Melalui sesi dialog, pembentangan dan cadangan di dalam persidangan itu, ia diharap dapat membantu ahli jawatankusa Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mendapatkan resolusi bagi membantu merancakkan kembali ekonomi dunia.

"Berpeluang mengambil bahagian dalam persidangan kali ini bukan sahaja membolehkan saya berinteraksi dengan peserta dari luar negara malah dapat berbincang mengenai kesan ekonomi dunia kerana Covid-19," katanya.

Muhammad Saniy (kanan) aktif menyertai pelbagai aktiviti kepimpinan dan komuniti sepanjang menuntut di UUM.

Sebelum ini, Muhammad Saniy antara peserta yang terpilih bagi menyahut cabaran membina potensi diri melalui di Axiata Foundation University Leadership Development Programme (ULDP) dan pernah menyertai persidangan Antarabangsa Asia Afrika yang disertai oleh 643 peserta dari 65 negara.

Berkongsi mengenai pembabitkan dalam bidang pengucapan awam, Muhammad Saniy berkata ia bukanlah perkara asing baginya kerana sudah mula membabitkan diri dalam arena berkenaan sejak berada di bangku sekolah menengah lagi melalui penyertaan beberapa program di dalam dan luar negara.

"Selain aktif bidang pengucapan awam, saya juga terbabit dalam aktiviti kepimpinan termasuklah menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa MAS & TNB ( MalTen ) dan Presiden Majlis Presiden JKPS, UUM.

"Saya sebenarnya meminat bidang perniagaan tetapi memilih untuk bergiat aktif dalam bidang pengucapan awam kerana mahu keluar dari zon selesa, mencabar diri dan mengasah kemahiran insaniah serta strategi rundingan sebagai nilai tambah kepada diri sendiri apabila menceburi dunia pekerjaan kelak," katanya.

Artikel menarik

Formula asas dalam penghafalan subjek Sejarah, Cikgu Fir kongsi rahsia yang ramai tidak tahu

Mak ayah boleh amalkan 8 tip untuk ajar anak berpuasa, guru-guru juga boleh cuba cara mudah ini!