SUNGAI PETANI - Penggunaan kad pintar yang diaplikasikan semula di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Tong sejak 5 Mei lalu menunjukkan kesan positif apabila tiada lagi\ kes kehilangan wang saku dilaporkan oleh murid sekolah berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lai Miew See berkata, sejak digunakan sebulan lalu, pembelian makanan dan minuman di kantin juga lancar.

Menurutnya, murid hanya perlu mengimbas kad pintar sebelum petugas kantin mengenal pasti jenis makanan dan minuman yang dibeli.

“Resit akan diberikan kepada murid dan mereka diminta membawanya pulang untuk rujukan ibu bapa bagi mengetahui makanan yang dibeli setiap hari,” katanya.

Miew See berkata, wang dalam kad pintar itu telah dikreditkan mengikut kemampuan ibu bapa dan jumlah pembelian harian juga boleh dihadkan bagi mengelakkan pembaziran.

“Dengan ini, tak ada lagi kes duit hilang atau murid tertinggal duit dan tak boleh makan.

“Kini mereka hanya perlu menggantung kad pintar untuk dipamerkan sepanjang berada dalam sekolah,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih menarik kad pintar itu tercatat identiti pemilik termasuk gambar terkini bagi mengelakkan kecurian.

“Kalau kita imbas tetapi tak keluar muka dia, maka kita tahu kad tu bukan dia punya,” katanya.

Katanya, inisiatif itu juga mampu mengelakkan keciciran wang kerana murid langsung tidak perlu membawa wang kertas mahupun siling.

Miew See menunjukkan cara-cara mengkreditkan wang ke dalam kad pintar di kaunter disediakan yang dibuka pada hari tertentu.

Kos menyediakan sistem kad pintar RM15,000

Sementara itu, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Fong Hang Kiat berkata, penggunaan kad pintar pada mulanya dimulakan pada 2007 setelah mempelajari selok-belok daripada pihak pengurusan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min yang mengaplikasikannya lebih awal.

Menurutnya, setelah lapan tahun menggunakan kad pintar tersebut, pihak sekolah terpaksa menghentikan sementara bagi memulihkan sistem yang tergendala.

“Pada masa itu, kita lebih menumpukan kepada projek pembinaan bumbung gelanggang bola tampar menyebabkan proses membaiki sistem kad pintar terpaksa ditangguhkan.

“Bagaimanapun pada tahun 2018 kita membuat keputusan agar diaplikasikan semula dan akhirnya pada 5 Mei lalu, kita dah mula pakai kad pintar,” katanya.

Beliau berkata, kos permulaan menyediakan sistem kad pintar membabitkan RM15,000 hingga RM20,000 namun murid hanya dikenakan RM5 sekeping untuk setiap kad pintar.

Katanya, penggunaannya juga telah dinaik taraf apabila kad yang sama boleh digunakan untuk membuat pinjaman buku di perpustakaan.

“Mereka tak perlu lama-lama menunggu untuk pinjam buku, imbas saja kad dah tertera nama,” katanya.

Urus niaga jual beli makanan di kantin hanya menggunakan kad pintar.

Tambah nilai kredit kad di kaunter sekolah

Hang Kiat berkata, ibu bapa boleh menambah kredit sekiranya nilai kad sudah berkurang di kaunter sekolah yang dibuka pada hari tertentu sahaja.

“Kita bercadang agar penggunaan kad akan diperluaskan tidak hanya di kantin dan perpustakaan sahaja malah cadangannya akan digunakan untuk mengimbas kedatangan ke sekolah.

“Ia sekali gus mengelakkan kebimbangan ibu bapa terhadap kehadiran murid dan memantau anak-anak dari ponteng sekolah,” katanya.

Setiap murid perlu menunjukkan kad pintar untuk membeli makanan di kantin SJKC Tai Tong.

Miew See menunjukkan kad pintar yang digunakan murid SJKC Tai Tong.

Setiap murid mempunyai kad pintar yang mempunyai identiti tersendiri yang membolehkan mereka membeli makanan di kantin sekolah.

Resit pembelian akan diberikan kepada murid sebagai rujukan ibu bapa.

Artikel menarik:

'Jika bukan kerana ayah, saya tak mampu habiskan bacaan surah Al-Qori'ah'

Cetusan idea pengetua SMKA Miri jana pendapatan RM3,400 sebulan - Ini yang mereka buat

Jangan keterlaluan di media sosial kelak diri sendiri yang rugi

KPM cadang tambah kelas PPKI di sekolah arus perdana di seluruh negara

Siri 3: KPM prihatin guru stres dan kemurungan