Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sumbang seunit ‘Sistem Alat Pengukur Suhu Badan Automatik’ kepada SK Dato’ Wan Kemara pada 14 Julai lalu.

Guru Besar, Mohd Nizam Saidin, berkata alat pengukur suhu yang bernilai lebih tiga ribu ringgit itu mempunyai tiga fungsi berbeza, mengesan suhu badan, mengandungi cecair pembasmi kuman dan juga merekod kehadiran murid.

“Sebenarnya, SK Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah ini merupakan sekolah angkat kepada Pusat Pengajian Diploma, UniMAP. Disebabkan itulah, UniMAP memberikan kejutan dengan menyumbangkan sebuah alat pengukur suhu berinovasi tinggi kepada kami.

Perasmian oleh Pemangku Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr Mohd Mustafa AlBakri Abdullah (dua dari kanan), disaksikan oleh Ketua Penyelidik Inovasi UniMAP, Dr Marni Azira Markom (lima dari kiri), dan  juga Guru Besar SK Dato’ Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin (kanan)

“Pemberian alat tersebut sedikit sebanyak dapat membantu kami mengurus dan mengendalikan kehadiran 1367 murid di sekolah pasca covid,”tambahnya.

Mohd Nizam berkata, pemeriksaan suhu badan secara manual mengambil masa yang terlalu lama dan tidak begitu praktikal.

Katanya, selain faktor cuaca yang tidak menentu, sekolah juga memerlukan ramai guru petugas untuk mengambil rekod suhu dan kehadiran murid.

“Selain guru, murid-murid juga turut teruja menggunakan alat berkenaan. Ada dalam kalangan mereka sanggup datang lebih awal ke sekolah semata-mata untuk menjadi orang pertama menggunakan sistem ini,”

Sementara itu, Pemangku Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UniMAP, Profesor Dr Mohd Mustafa AlBakri Abdullah dalam ucapan perasmiannya berkata, SK Dato’ Wan Kemara merupakan sekolah pertama yang menggunakan ‘Sistem Alat Pengukur Suhu Badan Automatik’ tersebut di Malaysia.

“Setakat ini, hanya tiga unit sahaja yang ada di Malaysia dan ia akan dibangunkan dalam kuantiti yang lebih banyak dalam masa terdekat.

“Saya juga berharap akan lebih banyak pembangunan inovasi dilaksanakan di sekolah-sekolah, agar minda murid terus dibugarkan dengan lebih kreatif dan kritis,”katanya.

Turut hadir di majlis penyerahan tersebut, Yang Dipertua PIBG, SK Dato’ Wan Kemara, Zainol Abidin Mohamad, Pemangku Dekan Pusat Pengajian Diploma, Suhaireza Md Esa, dan Ketua Penyelidik dan Pensyarah UniMAP dan Penyelidik Inovasi UniMAP, Dr Marni Azira Markom.