LANGKAWI - Bagi memberi kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap ahli pengakap, Sekolah Kebangsaan (SK) Kelibang menganjurkan Kem Kemahiran Mowgli 2019.

Pengarah program, Cikgu Ammar Qanwa Mokhtar berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama Falcon 08 diadakan selama dua hari bermula 28 Jun lalu di tapak perkhemahan pengakap sekolah itu.

"Nama Mowgli dipilih kerana ia watak utama dalam Cerita Hutan yang sinonim dengan pergerakan pengakap dan dekat di hati ahli pengakap.

"Pemilihan nama Mowgli sebagai suntikan semangat kepada peserta untuk berusaha memiliki kemahiran yang dimiliki oleh Mowgli yang terkenal dengan ilmu kemahiran dan mampu hidup di hutan bersama dengan haiwan yang dikenal sebagai Akela, Bagheera, Kaa, Baloo dan lain-lain," katanya.

Murid Tahun Satu, Sofiyuddin Al-Amin Ammar Qanwa bersama gajet ampaian yang berjaya disiapkan kumpulannya.

Selain itu, kata beliau, program berkenaan turut bertujuan agar peserta menguasai kemahiran memasak di dalam hutan, membuat ikatan dan membina gajet asas.

Seramai 91 murid terdiri daripada 48 murid lelaki dan 43 murid perempuan menyertai program tersebut.

Cikgu Ammar Qanwa yang juga Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Langkawi berkata, kesemua peserta ialah ahli pengakap dalam kalangan murid Tahun Empat, Lima dan Enam.

"Antara aktiviti yang dilakukan ialah memasak. Peserta perlu memasak sendiri sarapan, makan tengahari dan makan malam secara gotong-royong dalam kumpulan masing-masing. Mereka menggunakan bahan-bahan yang dibawa dari rumah seperti beras, bawang, sardin, telur dan lain-lain.

"Tujuan aktiviti ini agar peserta mahir menyediakan makanan sendiri dan mampu berdikari semasa ketiadaan ibu bapa," katanya.

 

 

Menurutnya, menerusi aktiviti memasak ini, peserta dididik untuk lebih tahan lasak dan  penerapan jati diri yang tinggi semasa melakukan aktiviti perkhemahan yang lain.

Kata Cikgu Ammar Qanwa, bagi aktiviti tali dan ikatan pula, peserta didedahkan dengan aspek pengenalan perkara berkaitan tali seperti jenis tali, cara penjagaan tali, cara membuat simpulan dan ikatan untuk membina gajet seperti ikatan silang tungku, ikatan manuk, ikatan serong, ikatan tali khemah, ikatan seraya, ikatan lilit kacang satu/dua tali, dan ikatan lain.

"Tujuan aktiviti tali dan ikatan ini supaya murid mahir serta cekap dalam membezakan jenis ikatan semasa membina gajet," katanya.

Bagi aktiviti membina gajet, peserta dikehendaki membina gajet asas yang biasa digunakan semasa perkhemahan iaitu, gajet ampaian sebagai tempat sidai pakaian, gajet rak kasut sebagai tempat simpan kasut dan selipar dan gajet tempat simpan barang.

Peserta Kem Kemahiran Mowgli 2019 sedang memasang khemah masing-masing.

Cikgu Ammar berkata, peserta menggunakan batang kayu penyapu dan tali rafia sebagai bahan bantu belajar dan tujuan aktiviti ini agar peserta mampu membina sendiri gajet-gajet apabila mereka melakukan perkhemahan yang lain dan ketika memerlukan.

Sementara itu, Guru Besar, Azhar Ahmad berkata, Kem Kemahiran Mowgli 2019 merupakan program yang baik dan bermanfaat kepada anak-anak pengakap SK Kelibang.

"Melalui program ini, mereka didedahkan dengan pelbagai kemahiran yang mungkin berguna kepada mereka pada suatu masa nanti dalam menghadapi cabaran hidup yang makin mencabar selain mempersiapkan mereka sebagai pemimpin masa depan pewaris negara," katanya.

Seramai 20 orang guru dan 15 Pengakap Kelana terbabit sebagai fasilitator dan jurulatih program yang menjadi acara tahunan sekolah.

Bagaimanapun, pada tahun ini pihak sekolah membuat kelainan apabila peserta dikehendaki memasak sendiri sepanjang program berbanding tahun sebelum ini peserta diberi makanan yang ditempah dari kantin sekolah.

Kumpulan Alpha bertungkus lumus menyiapkan tempat menyimpan barang.

Reaksi

Sofea Rosyada Ammar Qanwa, 4 Cattleya

"Saya sangat seronok sepanjang kem ini. Saya dapat belajar memasak bersama kawan-kawan dan belajar membuat gajet."

Muhammad El Ridwan Faiz Muhammad Faizal, Tahun 4 Cattleya

"Saya sangat gembira dapat menyertai program ini. saya dapat belajar menggunakan tali bagi membuat gajet seperti rak kasut, ampaian dan lain-lain."

Umar Musthofa Mohammad Amran, Tahun 5 Cattleya

"Saya sangat teruja  mengikut kem ini kerana ia berbeza dengan kem yang pernah saya ikut sebelum ini. Kem ini saya dapat belajar kemahiran seperti memasak, ikatan dan membina gajet."

Nur Marsya Afida Roslan, Tahun 5 Cattleya

"Saya sangat gembira dapat menyertai kem ini kerana saya dapat belajar banyak perkara. Saya harap cikgu dapat anjurkan lagi pada masa yang akan datang."

Cikgu Ammar Qanwa Mokhtar, Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Langkawi merangkap Pengarah Program Kem Kemahiran Mowgli 2019

"Alhamdulillah Kem Kemahiran Mowgli 2019 ini dapat dianjurkan dengan jayanya. Kem ini bertujuan menerapkan beberapa kemahiran asas yang perlu ada dalam diri setiap ahli pengakap seperti tahu memasak, tahu menggunakan tali, tahu ikatan dan tahu membina gajet gajet asas.  Semua kemahiran ini akan digunakan oleh ahli pengakap setiap kali mengadakan perkhemahan dan juga pertandingan sama ada peringakat daerah, negeri dan kebangsaan. Ia juga berguna dalam kehidupan seharian ahli pengakap serta dapat membentuk mereka menjadi warganegara yang berguna kepada agama bangsa dan negara

Cikgu Ammar Qanwa (tengah) bersama Cikgu Zaquan Ahmad yang merupakan pemimpin pengakap sekolah sedang membakar ayam dan kambing untuk jamuan malam kebudayaan.

Ahli Kumpulan Foxtrot, Nur Dini Awatif Azri (kiri) dan Nur Zuliana Mohd Juhairy (tengah) membantu Ahli Pengakap Kelana Nurfazeera Nabila Muhamad Assri memasak untuk hidangan
 tengahari.

Peserta menunaikan solat lima waktu secara berjemaah sepanjang Kem Kemahiran Mowgli 2019.

Murid Tahun Empat Cattleya, Nur Fatin Asyiqin Abd Syukor, dari kumpulan Delta menunjukkan sandwic yang dibuat untuk sarapan pagi ahli kumpulannya.

Ahli kumpulan Bravo bekerjasama memasak untuk makan tengahari.

Lokasi tapak perkhemahan yang terletak di pekarangan SK Kelibang.

Ahli kumpulan Echo bertungkus lumus menyiapkan tugasan membuat ampaian.

Ahli kumpulan Echo menyiapkan sarapan pagi untuk kumpulan mereka.

Setiap peserta perkhemahan diwajibkan membawa dua batang kayu penyapu untuk digunakan sebagai alat membina gajet.

Ahli kumpulan Bravo bekerjasama membina tiang untuk membuat gajet ampaian.

Ahli kumpulan Golf sedang menyiapkan sarapan pagi.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Mohd Zalil Izham Abd Wahab berucap pada majlis penutup Kem Kemahiran Mowgli 2019.

Wakil kumpulan Charlie menerima sijil daripada Mohd Zalil sambil diiringi Cikgu Ammar Qanwa (kanan).

Wakil kumpulan Bravo menerima sijil daripada Mohd Zalil sambil diiringi Cikgu Ammar Qanwa (kanan).

Baca:

Dr. Claire terangkan asas fizik zarah dan peserta teruja tengok Syncho Cyclotron (7 foto)

'Kami dibawa melawat CERN' - Catatan pertama Cikgu Hailmi dari CERN, Geneva (6 foto)

Calon SPM antara tiga pelajar maut di tempat kejadian akibat motosikal berlangggar sesama sendiri

Cara cikgu SMK Jerlun Cikgu Hailmi follow GPSBestari.com - Mudahnya

Elak pelajar ponteng sekolah - SK Sokor anjur pertandingan beyblade