JITRA - Lebih 200 warga Sekolah Kebangsaan Megat Dewa (SKMD), Kodiang, dekat sini mencipta kelainan untuk sambutan Hari Kebangsaan, dengan menaikkan pelbagai jenis wau dan layang-layang bercorakkan Jalur Gemilang di padang sekolah itu.

Layang-layang dan wau pelbagai bentuk dan saiz itu dihasilkan dengan penuh kreativiti oleh warga sekolah itu dengan penglibatan ibu bapa yang bertujuan menyemarakkan perasaan patriotik, sempena sambutan berkenaan tahun ini.

Guru Besar SKMD, Rosli Din berkata aktiviti berkenaan diadakan sempena Program Jom Wow yang julung kali diadakan sekolah itu dengan tujuan mendidik semua warga sekolah untuk menghayati erti kemerdekaan selepas 62 tahun bumi Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah.

"Kami memilih permainan tradisional wau dan layang-layang kerana ia signifikan untuk melambangkan kemerdekaan dan kebebasan, selain mahu menanam sifat serta semangat jati diri dan patriotik dalam kalangan pelajar.

"Penglibatan para ibu bapa juga penting kerana dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dengan guru-guru yang sedia terjalin dengan baik sejak dahulu lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

 

Sementara itu seorang waris, Fauzi Halim, 51, berkata sebaik dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai program itu, ibu bapa telah melakukan persiapan bersama anak masing-masing bagi memastikan ia berjalan lancar.

"Kami para ibu bapa bertungkus-lumus membantu anak-anak menyiapkan wau dan layang-layang kerana permainan ini merupakan antara sukan tradisi penduduk Kedah,” katanya.

Seorang pelajar SKMD yang terlibat, Alya Maisarah Mat Azli,12, pula berkata program itu amat ditunggu-tunggu oleh para pelajar sekolah yang sebelum ini telah bertungkus lumus menyiapkan wau dan layang-layang masing-masing sejak seminggu lalu.

"Saya dan rakan-rakan begitu teruja kerana ini merupakan pengalaman saya yang pertama kali menyambut Hari Kemerdekaan bermain layang-layang apatah lagi melihat corak Jalur Gemilang yang berwarna-warni,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Selain Program Jom Wow, esok sekolah itu juga menganjurkan acara konvoi bermotosikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama ibu bapa, menuju ke sekolah Kebangsaan Manggol Bongor, Kodiang. - Bernama

Tip menarik:

Nota padat topik Abakus...Calon UPSR boleh buat ulang kaji ringkas cara Cikgu Mohd Fadli

Siap sedia sebelum UPSR 2019 bermula - Ini yang mak ayah perlu lakukan di saat-saat akhir

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau