SUNGAI PETANI - Sejarah baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Jerai tercipta apabila muncul pasukan ketiga terbaik Kedah dalam Kejohanan Bolasepak 1 Murid 1 Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-Yayasan Bank Rakyat (YBR) 2016 Bawah 11 Tahun di padang SK Sungai Layar, di sini, baru-baru ini.

Ketua jurulatihnya, Zulkifli Ab Karim berkata, beliau tidak menjangka dapat melangkah sejauh ini kerana berdasarkan rekod lalu, mereka sering terkandas di peringkat kumpulan dalam kejohanan serupa sebelum ini. Menurutnya, meraih kedudukan ketiga daripada 16 pasukan seluruh Kedah sudah cukup memuaskan hati pengurusan kerana saingan daripada setiap pasukan sangat mencabar.

“Ini adalah sejarah gemilang SK Seri Jerai sekali gus menyuntik semangat semua pemain untuk terus mencipta kejutan,” katanya.

SK Sri Jerai muncul juara selepas mencatat keputusan menang ke atas SK Kampung Selarong 2-0 dan SK Merbau Pulas 3-1 sebelum seri SK Naka 0-0.

Keputusan itu melayakkan mereka beraksi di suku akhir bertemu SK Bukit Jenun dan melakar kemenangan tipis 1-0 sekali gus mencipta kejutan layak ke separuh akhir.

Zulkifli berkata, pesaing di peringkat separuh akhir iaitu SK Bandar Puteri Jaya bukan calang-calang pasukan yang menyaksikan pasukannya tumpas tipis 0-1 sekali gus eranapkan impian untuk terus melakukan kejutan.