BALING - Budaya membaca al-Quran terus diperkasakan, dengan tertubuhnya Akademi Latihan dan Hafizul Quran (ALHAQ), di bawah program inovasi budaya Iqra’ SMK Syed Abu Bakar (SMKSAB), Kupang, Baling Kedah.

Menurut penyelaras Program Akademi Hafizul Quran (ALHAQ), Cikgu Mohammad Noor Azlan Idris berkata, ALHAQ ini merupakan yang pertama di sekolah menengah harian biasa di Daerah Baling, dan mungkin satu-satunya akademi mini Hafizul Quran seumpamanya di Malaysia.

Bilik ALHAQ yang dinaik taraf hasil sumbangan orang ramai

Beliau berkata, cadangan ALHAQ ini diwujudkan berasaskan kepada kewajipan menuntut ilmu, agar setiap ibadah yang dilakukan itu memenuhi matlamat sempurna.

“Matlamat utama pendidikan Al-Quran dan pembelajaran kitab-kitab, adalah untuk membina masyarakat yang faham tentang Islam, seterusnya melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab atas agamanya.

“Malah, idea inovasi ini saya peroleh, setelah mendapati sesetengah pelajar amat jauh dari al-Quran dan agak ketinggalan terutamanya dalam menguruskan hal ehwal kerohanian sekolah. Inovasi yang diperkenalkan juga adalah melalui kaedah mampu milik dengan pakej yang mudah,”katanya.

Pengetua, Cikgu Mohd Noor Saad.

Program tersebut di naungi oleh Pengetua SMKSAB, dan dikendalikan oleh beliau sendiri selaku Guru Perpustakaan dan Media, bersama Cikgu Fazilah Latip seorang guru kimia serta dibantu oleh semua Guru Panitia Pendidikan Islam.

Kumpulan sasaran pula adalah terbuka kepada pelajar Tingkatan 1 hingga 5 dan dilaksanakan sepanjang tahun.

“Ruangan Al Haramain Pusat Sumber Sekolah Aminuddin Baki SMKSAB ini asalnya adalah sebuah stor, namun ia telah  dinaik taraf menjadi sebuah bilik berhawa dingin, hasil sumbangan warga sekolah dan orang ramai.

Cikgu Mohammad Noor Azlan Idris (kanan) bersama pelajar yang tamat pakej dan dipakaikan selempang.

“Program ini juga turut mendapat sokongan penuh daripada Pengetua. Beliau sarankan agar pelaksanaannya diangkat sebagai salah satu projek inovasi sekolah,”katanya.

Menurut Guru Cemerlang Perpustakaan Media / Guru Pendidikan Islam itu lagi, projek tersebut mula dilaksanakan pada 10 Ogos 2019. Ia adalah sebuah projek santai dan tidak mengganggu pembelajaran pelajar di sekolah.

Malah, inovasi yang diperkenalkan juga adalah diadaptasi daripada pakej umrah iaitu, Pakej A (Al Haram ) - Hafalan Surah-surah pilihan, Pakej B (An Nabawi ) - Hafalan Juz Amma dan Pakej C (Al Aqsa ) - Hafalan Juzuk 1-5.  

Sesi tebuk hafal peserta, dikendalikan oleh Mohd Fakhrudin Anuar, volunteer hafiz dari Universiti Yarmouk, Jordan.

“Setiap peserta dibenarkan memilih satu pakej sahaja. Tiada unsur paksaan dan penyertaan adalah secara sukarela. Penyertaan pelajar juga adalah percuma dan akan diberikan insentif hadiah dan wang tunai selepas tamat pakej,”katanya.

Tambah beliau, biarpun baru beberapa bulan ditubuhkan, ALHAQ sudah mula menampakkan impak yang positif.

Tiga orang pelajarnya sudah tamat pakej, dan ada yang telah menghafaz lima juzuk.  

Bahkan dua pelajarnya yang mengikuti program tersebut juga turut memenangi pertandingan Daie Muda di Karnival Rahmah anjuran Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama PPD Baling.

“Peserta berupaya menguruskan program kerohanian sekolah. Hampir semua peserta menjadikan membaca dan menghafaz al-Quran sebagai rutin harian sebelum dan selepas pdpc. Ia sedikit sebanyak dapat merubah persekitaran SMKSAB menjadi lebih tenang dan Islamik,”katanya.

Sesi memperkenalkan peserta ALHAQ kepada warga sekolah

Sementara itu, Pengetua SMKSAB, Cikgu Mohd Noor Saad berkata, program ALHAQ membantu pelajr untuk menjadi seorang yang berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

“Tiada paksaan dalam program ALHAQ dan pihak Pusat Sumber Sekolah (PSS) hanya memberi galakkan dan penyertaan pelajar adalah atas kehendak sendiri.

“Sekolah juga turut menyediakan beberapa insentif istimewa kepada peserta dan berharap ALHAQ dapat memberi impak yang tinggi kepada peserta yang menyertai program ini.

Peserta ALHAQ Mohd Asyraf Kahar (dua dari kiri) dan Nor Azriza Rizzuwan ( dua dari kanan) menyertai program Daie sempena Karnival Rahmah Kedah 2019

Menurut beliau lagi, cadangan penubuhan Akademik Latihan dan Hafizul Quran (ALHAQ) diwujudkan berasaskan kepada kewajipan menuntut ilmu. Ilmu merupakan suatu yang penting agar setiap ibadah yang dilakukan dapat memenuhi matlamat yang sempurna.

Katanya, pelaksanaan program tersebut diharap dapat membantu murid untuk membaca, menghafaz dan seterusnya membudayakan Al-Quran dalam kehidupan.

Info!

Objektif penubuhan

  • Melahirkan generasi yang mencintai kalam ilahi, menghafaz, memahami dan mengamalkannya serta menyebarkannya kepada orang lain.
  • Melahirkan generasi yang mengamalkan sunnah Nabi dan beramal dengannya.
  • Melahirkan insan yang kamil lagi muktakammil di bawah naungan Al–Quran dan Al-Sunnah.
  • Melahirkan para Hufaz, separa huffaz (Hafiz dan Hafizah) walaupun dari sekolah harian biasa.
  • Mewujukkan pemeliharaan Al-Quran sebagai aset umat untuk generasi akan datang.
  • Menjadikan isi kandung al-Quran sebagai panduan secara praktikal pada seluruh alam.

.