Risau dengan pencapaian pelajar kelas belakang dalam mata pelajaran bahasa Melayu yang kebanyakannya gagal, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah ini memperkenalkan penggunaan Kad Tekad bagi membantu pelajarnya.

Guru bahasa Melayu, Dr Abdul Ghani Jalil berkata, Kad Tekad itu berfungsi sebagai kad rawatan pelajar yang mana guru akan menulis perancangan secara terperinci dari segi idea, bentuk, maklumat dan proses pelaksanaan bagi setiap pelajar yang lemah.

"Murid akan melengkapkan maklumat dalam Kad Tekad dengan menulis nama, tingkatan dan menentukan gred selepas janji temu pertama dengan guru.

"Setiap Kad Tekad akan ditampal pelekat berwarna merah jambu dan ditulis markah yang diperoleh," katanya.

Fenkey (kiri) dan Mohd Izuan menunjukkan Kad Tekad masing-masing selepas menemui guru mereka.

Cikgu Abdul Ghani menjelaskan, janji temu yang pertama akan ditetapkan oleh guru dan guru akan berbincang dengan pelajar mengenai masalah yang dihadapi.

Misalnya, jika pelajar mempunyai masalah dalam membuat rumusan maka guru akan mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi pelajar dan menentukan skala dan jenis rawatan.

"Pelajar kemudian diberi rawatan susulan dan guru akan menyimpan satu salinan untuk rujukan," katanya.

Melalui penggunaan Kad Tekad ini, setiap masalah pelajar dapat dikenal pasti dengan lebih cepat kerana tercatat jenis rawatan yang diperlukan pelajar.

"Dengan kata lain, guru akan merawat 'penyakit' yang dialami pelajar sehingga sembuh dan mereka boleh menguasai mata pelajaran bahasa Melayu dengan baik," katanya.

Kata beliau, walaupun penggunaan Kad Tekad baharu bermula Januari lalu tetapi kesannya sangat memberangsangkan.

"Selepas penggunaan Kad Tekad ini, pelajar lebih seronok belajar, berdisiplin, menepati masa, yang paling penting mereka akan berlumba-lumba antara satu sama lain untuk mendapat keputusan yang terbaik dalam bahasa Melayu.

"Kini pelajar kelas belakang sudah boleh membuat karangan yang lengkap, rumusan, komsas, bina ayat yang lengkap dan juga novel," katanya.

Pelajar Kelas 5 Sains Sosial menunjukkan Kad Tekad yang membantu meningkatkan pencapaian mereka dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

Melihatkan kesan positif melalui penggunaan Kad Tekad itu, Cikgu Abdul Ghani berhasrat meneruskan penggunaannya hingga menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, Pengetua, Ahmad Md Isa, berkata, penggunaan Kad Tekad hasil inovasi Cikgu Abdul Ghani memberi suntiksn semangat kepada pelajar Tingkatan Lima khususnya mereka yang berprestasi rendah.

"Selain peningkatan dalam pencapaian bahasa Melayu, penggunaan Kad Tekad ini juga membantu pelajar lebih menepati masa, berdisiplin dan budaya saing antara pelajar lain.

"Saya harap guru mata pelajaran yang lain juga dapat menghasilkan Kad Tekad ini," katanya.

Reaksi

"Saya sangat gembira dengan program Kad Tekad ini kerana saya dapat mengesan kelemahan saya dalam subjek bahasa Melayu." - Mohammad Faiz Hasni

"Saya dapat tahu kelemahan saya dalam aktiviti ini." - Mohd Izuan Badrul

"Saya sangat suka Kad Tekad ini." - C Fenkey

"Sejak menggunakan Kat Tekad ini saya terus jadi rajin." - I Phimpitsa

Ahmad (kiri) menyampaikan Kad Tekad kepada Mohd Izuan.

Penolong Kanan Pentadbiran, Abdul Rohim Abdullah menyerahkan Kad Tekad kepada pelajar.

Pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Afiq Syahmi Anuar menunjukkan Kad Tekad setelah menghadiri sesi bersama Cikgu Abdul Ghani.

Cikgu Abdul Ghani sedang memberi 'rawatan' kepada Mohd Izuan.

Artikel berkaitan:

Tip tarik minat pelajar lemah Matematik - Guru Cemerlang kongsi tujuh langkah

Teknik Cabang bantu murid lemah bina karangan panjang dan seragam

'Hafal pecahan popular ini' - Pesanan penting cikgu Matematik untuk calon UPSR

MGC Johor dedah laluan kerjaya Guru Cemerlang buatkan ramai guru ingin mohon

Pengetua SMKA Miri anjur sesi 'town hall' bersama YB latih pelajar jadi moderator