BALING - Seorang aktivis Bahasa Melayu dari Thailand menunggang motosikal bersama isteri dan anak mengelilingi seluruh Semenanjung Malaysia sejauh lebih 10,000 kilometer.

Tekad itu dilakukan Abdul Halim Othman, 50, atau dikenali Cikgu Joe Satun demi bertemu rakan-rakan Facebook dari Malaysia.

Beliau yang juga guru Bahasa Melayu di Thailand mahu melihat sendiri sejauh mana rakan-rakan lain percaya terhadap fitnah dilemparkan kepadanya.

Cikgu Joe berkata, dia difitnah mengambil kesempatan ke atas rakyat Malaysia yang ditimpa musibah ketika berkunjung ke Thailand.

“Saya berasal dari Kedah dan dibesarkan di Lembah Kelang, Selangor. Namun menetap di Satun Thailand sejak enam tahun lalu selepas berkahwin dengan orang tempatan.

“Di Thailand saya banyak membantu bikers Malaysia ditimpa musibah tanpa bayaran. Tetapi tak sangka, ada yang sebarkan fitnah di Facebook dan WhatsApp burukkan imej saya,” katanya.

Beliau ditemui Sinar Harian ketika singgah di Kampung Lanai, semalam.

Cikgu Joe bersama anak dan isteri yang menaiki motosikal Suzuki Smash 115 cc sebelum itu disambut ahli kumpulan bikers NVOG, Tamizi Nadzir.

Baling ialah lokasi persinggahan pada hari ke 41 sebelum bertolak ke Universiti Utara Malaysia (UUM) esok (hari ini).

Cikgu Joe berkata, pada lima Jun lalu, kembara dimulakan dari Satun ke Kedah dengan ditemani isteri Karlisa Latisya, 38, dan anak, Harris Mikail, 4.

Katanya, keseluruhan perjalanan dijangka mengambil masa selama 44 hari.

“Dari Satun saya tunggang ke Danok Thailand dan memasuki Changlon Kedah, kemudian ke Pulau Pinang, Perak dan negeri-negeri lain.

“Saya buat semua ni dengan tawakal kepada ALLAH. Hanya RM400 kami bawa sepanjang perjalanan, RM100 duit isteri dan RM300 duit saya,” katanya.

Fitnah tidak pengaruhi rakan-rakan lain

Bagaimanapun katanya, aktiviti dimuat naik di Facebook itu menerima perhatian ramai bikers lain membantu menyediakan penginapan serta makan minum secara percuma.

Tambahnya, kos menukar minyak hitam motosikal dan peralatan lain turut ditanggung bikers lain.

“Kos kembara kami bertiga dianggarkan RM12,000. Tetapi penginapan kami di seluruh negara ditanggung sepenuhnya rakan-rakan Malaysia.

“Sambutan diberikan mereka di luar jangkaan kami, cukup meriah. Dalam setiap pertemuan, kadang-kadang kami berbual hingga lewat pagi,” katanya.

Beliau berkata, penerimaan baik terhadap dirinya membuktikan fitnah tersebut tidak dapat mempengaruhi rakan-rakannya di media sosial.

Cikgu Joe berkata, setiap perjalanan ditempuh pergi dan pulang tidak menggunakan lebuh raya sebaliknya melalui jalan-jalan pekan dan kampung.

“Lagipun ramai kawan-kawan Facebook tinggal di kawasan kampung,” katanya.

Menurutnya, sepanjang perjalanan melalui tempat-tempat menarik di Malaysia turut dipromosikan di laman Facebook.

“Pengikut Cikgu Joe di Facebook, group Facebook dan page semuanya berjumlah 65,000 orang,” katanya.

“Selain itu, saya penuhi program talk di tempat disinggahi yang dianjurkan NGO,” katanya.

Anak tidak meragam

Cikgu Joe berkata, Harris Mikail adalah kunci kekuatan kepada dia dan isteri mengharungi perjalanan.

Menurutnya, dengan berbaki tiga hari untuk sampai ke Satun, Harris turut menikmati perjalanan tersebut.

“Harris tak pernah meragam, dia kekuatan kami untuk habiskan perjalanan ini.

“Demam waktu sampai di Kuala Lumpur tu ada, saya pun demam waktu sampai Kelantan, bukan sebab cuaca tapi tak cukup rehat,” katanya.

Berkongsi kisah di sebalik bantuan diberikan di Thailand, Cikgu Joe berkata, ada dalam kalangan rakyat Malaysia terbantut perjalanan ketika mengunjungi negara berkenaan.

“Ia sama ada melibatkan kes kemalangan, tinggal lebih masa, ditahan pihak berkuasa kerana dadah, kematian mengejut dan kehabisan wang,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman tidak dapat dilupakan ketika membantu membebaskan seorang biker dari Johor yang ditahan akibat pengambilan dadah.

“Lelaki itu ditahan pada 14 April tapi akhirnya dibebaskan pada 4 Jun lalu. Sepanjang dijamin dia tinggal di rumah saya selama 50 hari.

“Setiap minggu saya perlu bawa dia dari Satun ke Phuket untuk perbicaraan di mahkamah sana. Kami ke sana dengan motosikal dengan jarak 500 kilometer,” katanya.

Sementara itu, wakil NVOG, Tamizi berkata, Cikgu Joe bukan asing bagi ahli bikers seluruh negara.

“Kami mengenali seorang individu yang baik dan mengorbankan masanya menyemarakkan Bahasa Melayu di Thailand selain banyak bantu sekolah agama di sana.

“Saya dan cikgu kenal melalui rakan NVOG pada dua tahun lepas. Waktu tu cikgu belum ada motosikal. Dia singgah di sebuah kedai makan di Jeniang ketika dalam perjalanan ke Betong Thailand,” katanya.