SUNGAI PETANI - Ciptaan alat inovasi dikenali touch of love yang menggunakan gabungan dua buah kerusi dan basikal kanak-kanak berjaya menambat hati juri  dalam pertandingan Inovatif dan Kitar Semula daerah Kuala Muda.

Alat inovasi itu dihasilkan pasukan dari Sekolah Menengah  Kebangsaan (SMK) Bandar Puteri  Jaya sempena Majlis Pelancaran Kempen Hari Bumi 2019 dan Pertandingan Penciptaan Inovatif dan Kitar Semula daerah Kuala Muda di Central Square, semalam.

Ketua pasukan, Siti Nur Dini Azaharin, 16, berkata, idea mencipta alat inovasi itu tercetus selepas  melihat seorang pelajar istimewa di sekolahnya menggunakan bahagian belakang kerusi roda sebagai alat sokongan untuk berjalan.

Menurutnya, pelajar tersebut, Mohd Najwan Mohd Faizal, 19, yang mengalami masalah orang kurang upaya (OKU) pelbagai (multiple disabilities) dan keadaan tulang belakang condong mengheret kaki semasa menggunakan kerusi roda.

“Dengan adanya touch of love, Mohd Najwan tidak perlu lagi berdepan kesukaran untuk bergerak. 

“Selain membantunya bergerak touch of love ini juga dapat menjamin keselamatannya ketika berjalan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Dengan kemenangan itu, pasukan SMK Bandar Puteri Jaya membawa pulang hadiah wang tunai RM600.

Hadiah disampaikan Adun Kota Darul Aman, Teh Swee Leong  yang mewakili Exco Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Alam Sekitar Kedah, Zulfadzli Zakaria dan Pengurus Central Square, Loong Jee Yung.