SUNGAI PETANI - Pengendali sebuah pusat jagaan yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk mengutip derma akan didakwa pada 21 Mac ini kerana tidak mempunyai perakuan pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Undang-undang JKM, Ahmad Rashid berkata, tindakan itu berdasarkan Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) iaitu menjalankan operasi pusat jagaan kanak-kanak tanpa perakuan pendaftaran.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2) iaitu denda tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan selama lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya selepas selesai operasi lak (seal) pusat berkenaan, semalam.

Operasi menyita pusat berkenaan disertai lebih 60 anggota penguat kuasa pelbagai jabatan termasuk JKM, Jabatan Agama Islam, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah serta beberapa agensi lain.

Ahmad Rashid ketika selesai operasi menyita premis terbabit.

Menurutnya, tindakan menyita merangkumi premis 14 pintu rumah kedai, menempatkan pejabat, asrama, ruang dapur, bilik dobi, bilik mandi, bilik warden dan lain-lain.

“Sebelum tindakan sitaan, kita telah masuk dan semak untuk pastikan tiada lagi penghuni di premis ini. Kita dapati kesemua premis telah dikosongkan setakat ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, lak hanya boleh ditanggalkan dalam masa 21 hari, apabilapengendali mengemukakan perakuan pendaftaran pusat jagaan atau pengendali memperoleh perintah mahkamah.

Sebelum ini tular di media sosial berkaitan video membabitkan sekumpulan anak-anak dari pusat rawatan amal yang menempatkan anak yatim dan miskin, memaparkan tulisan ‘211 anak yatim fakir miskin diarah kosongkan penempatan’ mengundang simpati orang ramai apabila dihalau pihak berkuasa.

Sebelum ini, pusat itu beroperasi sebagai Pusat Tahfiz Amal di Alor Setar, namun diarah tutup pada 2014 oleh Jabatan Agama Islam Kedah kerana menjalankan operasi tanpa pendaftaran.

Bagaimanapun, operasi pusat ini berpindah ke Taman Pekan Baru, Sungai Petani dengan menggunakan nama lain.

Kelmarin, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh menjelaskan, tindakan pengosongan premis dibuat kerana beroperasi tanpa kebenaran, selain mengesahkan hanya 11 daripada 211 kanak-kanak di pusat jagaan berstatus anak yatim.