Sintok: Pusat pengumpulan dan pengedaran makanan Foodbank Malaysia di Universiti Utara Malaysia (UUM) berharap orang ramai dapat membantu menghulurkan sumbangan bagi memastikan kebajikan 5,000 pelajar yang menetap di universiti itu terus terjaga.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, hal ini kerana bekalan barangan keperluan dan makanan di pusat itu semakin berkurangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan.

“Pihak universiti terus berusaha untuk menjaga kebajikan pelajar yang menetap di kampus ini. Baru-baru ini kita sudah menyerahkan barangan keperluan dan makanan kepada mereka. Pelajar ini ada yang tidak pulang kerana mahu belajar dengan sempurna dengan perkhidmatan internet yang kita sediakan.

“Saya yakin semua pihak ingin melihat mahasiswa di kampus ini dapat meneruskan pengajian mereka begitu juga dengan semua penyumbang sebelum ini pastinya akan meneruskan sumbangan kepada UUM sekaligus dapat menjaga kebajikan pelajar disini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pusat pengumpulan dan pengedaran makanan Foodbank Malaysia UUM dikendalikan oleh Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) HEPA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Yayasan Foodbank Malaysia, Yayasan Alumni, Badan Bukan Kerajaan (NGO), badan berkanun, korporat, komuniti serta perseorangan.

Semua barangan keperluan dan makanan berkenaan ditempatkan di Pusat Penginapan Pelajar (SAC) UUM.

Sementara itu, Pengarah SSSD, Profesor Madya Dr Rajwani Md Zain berkata, pihak UUM bersedia untuk mengeluarkan surat pengecualian cukai kepada individu atau syarikat yang menyumbang.

Menurut beliau lagi, UUM sentiasa menjaga kebajikan pelajarnya bukan sahaja di dalam kampus malah mereka yang berada di luar kampus juga boleh menghubungi pihak SSSD sekiranya memerlukan sebarang bantuan.

“Kita mengalu-alukan sumbangan dalam bentuk kewangan atau barangan daripada orang ramai, bantuan orang ramai di luar sana pastinya akan membantu kelangsungan pelajar belajar dengan lebih baik,” katanya.

Sumbangan bantuan boleh disalurkan kepada pihak UUM melalui akaun Bank Islam : 0209-3010-0000-10.

Teks asal oleh: Ketua Pengarang, Bahagian Pengurusan Korporat Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, Samsudin Oli Mohamed