SUNGAI PETANI - Dua guru menjadi pemenang bertuah memenangi hadiah e-Peraduan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 edisi ke-20 yang akan melabuhkan tirainya semalam.

Norasyikin Ahmad, 35 tahun, guru sains Sekolah Kebangsaan Telok Wang, diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Ford Ranger 2.2L XLT, tajaan Sime Darby Motor dengan slogan "pelaburan membawa keuntungan sebagai simpanan untuk masa hadapan untuk pendidikan anak kesayangan serta atasi inflasi pasaran”.

Hadiah disampaikan oleh presiden dan ketua pegawai eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Ketua bahagian jualan korporat PNB, Kamaruizam Mohd Kamal.

Norashikin semasa ditemui pemberita berkata, dia percayakan rezeki dan sentiasa mengamalkan bacaan quran Al Waqiah dan sembahyang sunat Dhuha.

"Saya dan suami gemar menyertai peraduan, dan pernah memenangi pelbagai hadiah antaranya pada tahun lepas kami memenangi sebuah kereta Nissan X-Trail, serta pakej umrah.

"Walaupun mengharap kemenangan, saya tidak menyangka kami akan memenangi hadiah utama,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru dari SK Bukit Selambau, Nasir Mohd Noor, 40, diumumkan sebagai pemenang  kereta Toyota Vios 1.5 G tajaan UMW Corporation Sdn Bhd.

Hadiah disampaikan oleh Abdul Rahman dan ketua perkhidmatan kumpulan UMW, Muzafar Munzir.

Menurut Nasir beliau telah beberapa kali berkunjung ke pameran MSAM, dan kali ini bersama keluarga untuk memberi pendidikan pelaburan untuk anak-anak.

Beliau yang merancang  untuk membeli kereta yang sama dalam masa terdekat, terkejut dengan hadiah yang diterima.

"Semasa mendapat panggilan saya jangkakan akan mendapat hadiah hamper atau barangan elektrik. Saya terkejut bercampur gembira dengan hadiah ini, kerana tidak menjangka akan rezeki ini,” tambahnya. - Bernama
 

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua beradik juara seni khat.. warisi bakat bapa

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia

Tak berganjak walau seminit..kesetiaan murid tahun 6 temani rakan berkerusi roda buat netizen sebak