LANGKAWI - Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) meneruskan sumbangan keperluan sekolah kepada golongan B40 kepada 50 murid di daerah Langkawi, baru-baru ini.

Sumbangan yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof adalah sebahagian inisiatif Yayasan Peneraju membantu murid-murid daripada golongan yang tidak berkemampuan.

Beliau yang bertanggungjawab dalam menyelia agensi tersebut berkata, program seumpama itu dapat meringankan beban kewangan golongan sasaran.

"Terutama bagi ibu bapa dalam menyediakan pembelajaran persekolahan ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19," katanya pada Majlis Penyerahan Barangan dan Peralatan Persekolahan di Langkawi.

Selain di Langkawi, Yayasan Peneraju turut menyumbang keperluan sekolah kepada 100 murid di Bukit Kepong, kawasan Pagoh, Johor.

Malah, program seumpamanya juga turut dijalankan di Alor Gajah menerusi program Ceria Ke Sekolah di mana 100 murid turut menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Sementara itu, Mohd Redzuan turut mengambil peluang berkongsi berkenaan program-program pembiayaan dan pembangunan yang disediakan Yayasan Peneraju untuk pelbagai kumpulan Bumiputera termasuk program Peneraju Tunas, Peneraju Skil, Peneraju Profesional, Peneraju Teknologi dan Peneraju Spesialis pada majlis tersebut.

Turut hadir memeriahkan program adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ts Mohd Muzzammil Ismail.

Terdahulu, Yayasan Peneraju merupakan satu inisiatif kerajaan untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan bumiputera secara sejagat dan berterusan. Antara mandat Yayasan Peneraju adalah meningkatkan kualiti dan kuantiti bakat-bakat Bumiputera sejajar dengan usaha menaik taraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui akademik, vokasional, pensijilan profesional, teknologi dan spesialis.

Golongan-golongan lain yang turut diberi perhatian oleh Yayasan Peneraju termasuklah ibu tunggal, orang kelainan upaya, orang asli yang mempunyai sistem sokongan sosial yang terhad dan golongan pelajar tahfiz yang diberi kemahiran tambahan dalam bidang kemahiran.

Yayasan Peneraju, sejak ditubuhkan pada tahun 2012, telah melahirkan lebih 36,000 modal insan Bumiputera dalam pelbagai bidang melalui 276 program pembiayaannya.

Angka ini dijangka akan terus dipertingkatkan untuk memastikan modal insan Bumiputera terus diberi peluang untuk meningkatkan taraf pendidikan, kemahiran serta pentauliahan demi memastikan Malaysia diperkayakan dengan modal insan yang akan terus memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi.

Artikel menarik

'Berapa orang murid lagi yang belum bayar bayaran khas sekolah, cikgu?'

Ikuti langkah-langkah ini bagi memperkasakan PIBG, pasti beri impak besar kepada sekolah