Sepang - Kehadiran murid orang asli ke sekolah yang dicatatkan pada tahun ini sehingga 30 Jun lepas ialah 89.48 peratus.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke sekolah Kebangsaan Bukit Bangkong (A), Sepang di sini hari ini.

"Ia hasil usaha kementerian melaksanakan program Transformasi Pendidikan Orang Asli di 98 sekolah rendah murid orang asli di negara ini,” katanya mengenai pencapaian itu yang menghampiri sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian iaitu 90 peratus.

Menurutnya, kehadiran murid Orang Asli ke sekolah pada 2016 ialah 86.25 peratus.

Nie Ching berkata, peratus transisi murid orang asli dari Tahun Enam ke Tingkatan Satu juga meningkat sehingga 75.17 peratus bermula awal tahun ini sehingga kini berbanding 73.14 peratus pada 2017.

Beliau berkata antara inisiatif baharu yang dilaksanakan kementerian bagi memartabatkan pendidikan orang asli adalah dengan mewujudkan laluan khas bagi pelajar orang asli memasuki universiti yang diperkenalkan tahun lepas.

Terdahulu, Nie Ching menyerahkan sumbangan buku kepada 40 sekolah murid orang asli di seluruh negara sempena kempen 'Dekad Membaca Kebangsaan' yang antara lain bertujuan memperkukuh budaya membaca. - Bernama

Baca:

SK (1) Selayang Baru wujudkan bilik rehat guru yang kondusif dan teraputik

Lima tip penting buat calon yang mahu skor cemerlang Matematik UPSR

SSP sekali lagi julang nama negara di peringkat dunia selepas menang emas di AIMF 2019 (6 foto)

Cikgu ini yakinkan pelajarnya yang subjek Matematik sangat mudah dan ini yang beliau buat...

Gosok gigi berirama SK Sungai Binjai diiktiraf MBOR