KAJANG - Kehilangan Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra di sini sejak 15 April lalu jadi tanda tanya kerana masih belum ditemui sehingga kini.

Keluarganya terus buntu memikirkan nasib anak bongsu daripada lima beradik itu kerana tiada petunjuk baharu ditemui polis malah tida pihak tampil menyalurkan maklumat mengenai kehilangannya.

Ibunya, Sainih Sumbing, 45, berkata, tiada sebarang maklumat atau petunjuk baharu berkenaan kehilangan murid Tahun Dua itu.

“Polis juga maklumkan tiada perkembangan. Saya tak tahu di mana anak saya berada sekarang.

“Kehilangannya menjadi tanda-tanya, dia tak bawa sebarang duit malah tidak pernah sekalipun tidak pulang rumah sebelum dikesan hilang,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kehilangan Zahiruddin menyebabkan sambutan Ramadan hambar malah mereka sekeluarga tidak bersemangat untuk membuat sebarang persiapan Aidilfitri.

“Selagi Zahiruddin tidak ditemui selagi itu saya risau. Kali terakhir saya berjumpanya jam 6.45 pagi (hari kejadian) sebelum ke tempat kerja dan ketika itu dia sedang tidur.

“Pada waktu petang biasanya dia akan tunggu saya pulang dari tempat kerja di bawah Blok B dan naik bersama-sama ke rumah, tapi masa hari kejadian dia tak ada dan saya menyuruh abang-abangnya mencarinya di bawah,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, keluarganya masih tidak putus harapan mencari Zahiruddin.

“Kami juga ada bertanyakan pemandu bas Smart Selangorku, kerana ada juga Zahiruddin bersama rakan-rakannya menggunakan bas percuma itu untuk bersiar-siar mengikut laluan bas sebelum berhenti semula ke kawasan perumahan kami, tapi masih tiada petunjuk,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan Zahiruddin diminta menghubunginya di talian 018-320 1341.

Artikel lain:

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

'Tak sangka cikgu masih tunggu aku... ALLAH' - Ustaz Hamadi' sebak jumpa guru Muziknya di sekolah

'Meninggal ketika laung azan kedua untuk solat Jumaat' - Cikgu ini sebak kenang Amirul Najmi

Guru ini sanggup menyumbang sejumlah wang gaji untuk sedia kelengkapan pelajar yang rata-rata miskin

Memang wajar guru ini menang Adiwira PAK21, Cikgu Nazmi berjaya bawa segala ilmu dalam kelasnya