KOTA BHARU - Jari melekat antara satu sama lain dan anggota badan yang sentiasa ada luka, itu derita dialami seorang kanak-kanak lapan tahun akibat penyakit
Epidermolysis Bullosa atau kulit rapuh.

Lebih malang apabila anggota badan Muhammad  Alif Firdaus Mohd Rosdy yang belajar di Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang itu turut terpaksa dibalut setiap hari bagi mengelak lukanya bertambah teruk.

Ibunya, Ruziah Ismail, 38,  berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu  menghidap penyakit itu sejak lahir dan memerlukan perhatiannya sepenuh masa. 

“Di sekolah, dia terpaksa diasingkan dari rakan-rakan dan tidak menyertai perhimpunan serta tidak makan di kantin sekolah. 

“Malah, setiap kali ke sekolah, dia hanya memakai baju sahaja, manakala seluar yang digunakan perlu lebih lembut. Kasut sekolah pula terpaksa digantikan dengan
selipar,” katanya.

Katanya, setiap kali mencuci atau membalut luka, dia terpaksa cekalkan hati mendengar tangisan Muhammad Alif Firdaus yang sakit akibat pedih luka dan kadang kala, hatinya sendiri tidak kuat walaupun sudah lapan tahun menghadapi keadaan itu.

“Setiap bulan kos untuk peralatan luka Muhammad  Alif Firdaus mencecah RM2,000 dan suami saya hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan RM1,500.

“Manakala saya pula tidak mampu bekerja akibat perhatian yang terpaksa  diberikan kepada anak tersayang,” katanya.

Jelas Ruziah, dia terpaksa mengorbankan seluruh masanya untuk menjaga anaknya dan hampir keseluruhan masanya dihabiskan di sekolah demi Muhammad Alif Firdaus.

“Dia tidak seperti kanak-kanak lain kerana masanya di  sekolah hanya dihabiskan di bangku dalam kelas dan tidak dibenarkan bermain dengan rakan-rakan kerana bimbang lukanya semakin teruk sekiranya terjatuh.

“Muhammad Alif Firdaus tidak boleh ke kantin sekolah  dan setiap kali perhimpunan saya akan menemaninya dalam kelas,” katanya.

Katanya, setiap kali rehat dia akan membawa makanan di sekolah dan Muhammad Alif Firdaus terpaksa memakai lampin pakai buang kerana dia sukar untuk membasuh najis berikutan jarinya sudah melekat.

“Setiap kali anak saya membuang air besar, pihak  sekolah akan memaklumkan dan saya akan hadir ke  sekolah untuk menukar lampin pakai buang.

"Begitulah rutin seharian saya setiap hari yang terpaksa  hadir ke sekolah sekurangkurangnya tiga kali sehari,”  katanya yang tinggal di Kampung Chekok.

Ruziah berkata, dia bersyukur pihak sekolah memahami masalah Muhammad Alif Firdaus dan dikelilingi rakan-rakan yang baik walaupun keadaannya tidak seperti kanak-kanak lain.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh atau menerusi akaun 7611159603 - CIMB. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.gpsbestari.com/berita/mohd-syukri-tak-bercakap-selepas-tahu-kanser-1.915308

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.gpsbestari.com/berita/selangor/murid-hidap-kanser-mata-muhammad-adam-shahputra-sudah-tiada-1.919845

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.gpsbestari.com/berita/kedah/disahkan-kanser-tulang-selepas-terjatuh-ketika-kelas-tambahan-perlu-rm37-000-kos-pembedahan-1.917944