KOTA BHARU - Bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan murid sekolah di Kelantan, Kurnia Ansurance, AmGeneral Insuranse Berhad (AmGeneral) melancarkan Program Adiwira Topi Keledar, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Derek Roberts berkata, Kota Bharu merupakan daerah ketiga yang menjadi pilihan AmGeneral selepas Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Menurutnya, bagi menjayakan program yang julung kali diadakan ini, sebanyak 1,600 topi keledar akan diedar kepada 30 sekolah.

“Sekolah-sekolah terpilih di Kelantan akan menerima 60 topi keledar manakala dua negeri lain masing-masing 50 topi keledar.

“Kita rasa terpanggil untuk menjayakan program ini kerana hasil kajian mendapati sebanyak 15 peratus kanak-kanak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal,” katanya, selepas Perasmian Program Adiwira Topi Keledar di Dewan Utama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pegawai PPD Kota Bharu, Mohd Ezani Awang.

Lebih menarik Derek berkata, pihaknya akan mengadakan pertandingan merekacipta grafik terbaik bermula 15 hingga 29 Mac ini.

Menurutnya, pertandingan ini terbuka kepada semua murid dan gambar terpilih akan diletakkan di bahagian belakang topi keledar yang akan diagihkan kelak.

Sementara itu, Mohd Ezani berkata, pertandingan ini selaras dengan kempen pemakaian topi keselamatan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Menurutnya, ia juga diharap dapat mengurangkan statistik kemalangan membabitkan penunggang motosikal terutama murid sekolah.