TANAH MERAH - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, begitulah nasib keluarga daif sembilan beranak di Kampung Bukit Pauh, Gual Ipoh di sini yang hidup dalam serba kekurangan.

Ketua keluarga, Roslan Kori, 38, menghidap ketumbuhan  dalam perut menyebabkan dia tidak dapat melakukan pekerjaan.

Anak bongsunya pula  yang baru berusia 20 hari mengalami masalah jantung  berlubang dan memerlukan rawatan susulan.

Menurut isterinya, Wan Rosmini Mat Leh, 33, dia tidak bekerja kerana perlu menjaga  tujuh anak mereka.

“Kami tidak punya pendapatan  tetap kerana keadaan suami yang sakit.

“Sebelum ini saya ada juga menjaja kulat sisir dan siput gondang ditemani anak sulung, tapi sekarang saya tidak boleh bekerja kerana baru sahaja melahirkan anak
bongsu,” katanya.

Rosmini berkata, buat masa ini dia terpaksa  mengikat perut dan hanya belanja mengikut keperluan  memandangkan anak-anaknya perlu bersekolah serta  memerlukan perbelanjaan sampingan.

Katanya, setiap hari dia akan memasak dan bekalkan  anak-anak ke sekolah dengan nasi berlaukkan sayur ubi kayu dan budu sahaja kerana tidak cukup duit belanja.

“Apa pun saya berharap nasib anak-anak saya akan berubah selepas ini. Walaupun  dua anak saya terpaksa jalan kaki ke sekolah sejauh 10 kilometer setiap hari, saya tidak sanggup jika mereka ponteng sekolah dan tertinggal dalam pelajaran.

“Biarlah keluarga kami  miskin harta sekali pun, namun pelajaran anak-anak  perlu diteruskan demi masa depan mereka,” katanya.

Rosmini ditemui di rumahnya  di Gual Ipoh di sini semasa menerima kunjungan  rombongan Yayasan Amal  Dato Zul Wisma yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Zulkepli Mohamad.

Zulkepli berkata, beliau amat bersimpati dengan nasib  keluarga berkenaan dan  kunjungan itu bagi menyampaikan sumbangan kepada  mereka.

“Insya-ALLAH dengan kunjungan ini kita akan panjangkan  masalah keluarga ini kepada pihak berkenaan supaya  mereka dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik.

“Setakat ini nasib keluarga ini juga telah mendapat  perhatian pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tindakan susulan telah dilakukan pihak terbabit,” katanya.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan terhadap keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Agro Tani atas nama Wan Rosmini Mat Leh di nombor akaun 2006671000190842.