KUALA KRAI - Demi merealisasikan hasrat arwah ibunya, Hasiah Abdullah, 43, seorang calon PT3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuala Krai tetap belajar walaupun dalam keadaan baring.

Ana Asyidar Anuar, 15, dari Kampung Batu Balai cedera parah serta retak tulang punggung selepas terlibat kemalangan jalan raya di Jalan Batu Balai, 29 Mei lalu.

Ana Asyidar berkata, biarpun belum pulih sepenuhnya dari kecederaan tetapi semangatnya tidak pernah padam.

Menurut pelajar Tingkatan Tiga ini, pesanan arwah ibu, untuk melihat dia berjaya dalam pelajaran dan seterusnya menyambung pengajian dalam bidang perubatan, sentiasa tersemat di hati malah menjadi pembakar semangat untuk pulih.

“Biarpun tidak dapat ke sekolah dan hanya mampu baring sepanjang masa namun saya akan tetap belajar.

“Saya nak pastikan impian arwah emak dapat dicapai, seterusnya jadi contoh kepada adik-adik," luah anak sulung daripada empat beradik.

Tambah Ana Asyidar, dia rindu untuk kembali belajar bersama rakan-rakan seperti biasa namun keadaan tidak mengizinkan.

“Tapi saya tetap bersyukur cikgu tetap prihatin, datang tanya khabar dan bagi cadangan belajar secara berkumpulan untuk menduduki PT3, September depan.

“Saya akan ikut cadangan cikgu, lagipun kawan telah berjanji untuk datang belajar bersama-sama," katanya yang tinggal di rumah ibu saudaranya, Jamilah Ismail.

Ana Asyidar berkata, kemungkinan dia akan menduduki peperiksaan PT3 di hospital bagi memudahkan menjawab peperiksaan.

Menceritakan amanat arwah ibu, Ana Asyidar beritahu, ibunya memaklumkan hidup mereka sekeluarga susah jadi pelajaran yang akan mengubah nasib mereka.

“Arwah emak juga pesan, nanti dah berjaya bantu orang terutama golongan susah,” ujarnya.

29 Mei lalu Sinar Harian melaporkan, Ana Asyidar cedera parah setelah motosikalnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke bandar untuk menyiapkan kerja kursus PT3.

Kejadian menyebabkan ibunya yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian sementara dia dirawat di Hospital Kuala Krai dan menyambut Aidilfitri di hospital berkenaan.

Orang ramai melawat Ana Asyidar.

ARTIKEL LAIN:

Enam perkara ubah PSS jadi ceria - Cikgu wajib tahu ini

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Tip skor A Matematik UPSR - Mak ayah wajib ambil tahu perkara ini

Latih tubi Matematik untuk murid Tahun Enam - Ada 10 soalan untuk dijawab

Gagal kuasai subjek Matematik...rupa-rupanya ini faktor sebenar pelajar lemah dan corot subjek itu