TANAH MERAH - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara tiga pelajar maut selepas motosikal yang ditunggang mereka secara berasingan berlanggar sesama sendiri di Jalan Bukit Mas-Bukit Panau di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa, Muhammad Danial Adam Che Hasim, 17, Abdul Rahman Abdullah, 16, dan Muhammad Nasrun AlHakim Norli, 14, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketiga-tiga remaja berkenaan merupakan pelajar di tiga sekolah berlainan, Muhammad Danial Adam pelajar Sekolah Menengah Ugama  Ar Rahman, Paloh; Abdul Rahman merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chetok, Pasir Mas dan Muhammad Nasrun ialah pelajar SMK Alor Pasir.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, ketiga-tiga pelajar berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Bukit Mas menghala ke Bukit Panau.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mereka telah berlanggar sesama sendiri serta terbabas ke kiri dan ke kanan jalan.

“Akibat kejadian itu, kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat,” katanya.

Suzaimi berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati sistem jalan adalah dua hala, satu lorong menghala ke Bukit Panau manakala satu lorong menghala ke Bukit Mas.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak terutama yang masih bersekolah dan pihaknya boleh mengambil tindakan kepada keluarga pelajar sekiranya tidak mempunyai lesen memandu.

MUHAMMAD DANIAL ADAM

ABDUL RAHMAN

MUHAMMAD NASRUL Al HAKIMI

INFO MANGSA KEMALANGAN

1. Tiga pelajar berusia 14 hingga 17 tahun menunggang motosikal dari Bukit Mas ke Bukit Panau.

2. Motosikal yang ditunggangi mereka berlanggar sesama sendiri dan kesemuanya maut di tempat kejadian

 

 

Baca:

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Sekolah dikelilingi alat permainan, patutlah jam 6.30 pagi murid dah datang - Macam dalam filen 3 Idiot!

Parut pada guru itu akan berbekas lama...

Tahniah! Pelajar Sekolah Seri Puteri bolot 27 emas, 41 perak, tewaskan peserta dari 39 negara

Cikgu Norhailmi, guru Malaysia pertama ikuti High School Teacher Programme 2019 tiba di Geneva