KOTA BHARU - Hasrat murni seorang siswazah universiti yang membuka kedai dobi kecil-kecilan untuk mendapatkan dana bagi meneruskan operasi pusat pengajian Pondok Pulau Gajah, Sabak di sini yang diasaskan arwah bapanya berbalas apabila usahanya membuahkan hasil.

Tengku Aiman Tengku Abd Wasa, 29, langsung tidak menyangka usahanya membuka kedai dobi pada 2014 untuk memastikan sekolah pondok berkenaan tidak terkubur, kini menjana pendapatan lumayan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Bahkan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Haiwan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu kini boleh berbangga kerana pendapatan daripada perusahaan dobi itu bukan sahaja membolehkan sekolah pondok berkenaan diteruskan, malah berkembang sehingga mempunyai 40 pelajar berusia antara 15 hingga 28 tahun ketika ini.

"Arwah bapa Tengku Abd Wasa Tengku Adnan meninggal dunia disebabkan penyakit jantung, susulan itu saya berfikir untuk mencari dana bagi meneruskan pembiayaan pelajar pondok yang ketika itu hanya seramai lapan orang.

"Jadi saya mengambil keputusan untuk mengusahakan kedai dobi memandangkan perniagaan ini tidak memerlukan modal yang besar iaitu sekitar RM2,000 dengan menggunakan duit simpanan yang ada,” kata Pengarah Niceyear Laundry and Carpet Services Sdn Bhd itu ketika ditemui pemberita di kilang dobinya dekat sini, semalam.

Gambar hiasan daripada Pexels

Bercerita lanjut, Tengku Aiman berkata, ketika memulakan perniagaannya di  Kampung Baung, Pengkalan Chepa, beliau hanya membeli dua buah mesin basuh dan dua mesin pengering terpakai sahaja yang berharga RM400 setiap satu.

"Namun perniagaan semakin hari semakin berkembang dengan pulangan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Dalam tempoh sama juga saya turut diberi peluang menjadi vendor membersih cadar dan kelengkapan untuk Hotel Ridel dan Hotel New Pacific dekat sini pada ketika itu,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Selepas hampir dua tahun beroperasi, perniagaannya semakin maju apabila menerima suntikan modal daripada sebuah syarikat minyak dan gas dari Kemaman, Terengganu yang juga merupakan kenalannya untuk membuka kilang dobi.

"Saya sangat bersyukur ketika itu saya diberikan kepercayaan oleh seorang kenalan lelaki yang sudi menyuntik modal bagi mengembangkan perusahaan dobi ini.

Gambar hiasan daripada Pexels

"Kami turut menjadi rakan kongsi ketika itu, namun setelah beberapa bulan apabila kenalan saya melihat pontensi untuk saya mengusahakan sendiri, jadi dia menyerahkan sepenuhnya pemilikan kilang dobi ini kepada saya sebelum saya membayar balik duit suntikan modal yang diberikannya,” katanya.

Niceyear Laundry and Carpet Services Sdn Bhd kini mempunyai empat mesin basuh 100 kilogram, enam mesin pengering 100 kilogram serta dua mesin gosok dan lipat untuk memenuhi permintaaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

"Hampir setiap hari kami menerima kira-kira 2.5 tan pakaian pelbagai jenis, cadar dan kelengkapan hotel dengan dibantu seramai 11 pekerja. Malah, ketika penularan pandemik Covid-19 ini juga kilang kami turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kesemua peralatan yang digunakan disanitasi setiap hari,” katanya. - BERNAMA

Artikel menarik

Adab-adab yang perlu dijaga ketika berpuasa. Guru dan pelajar mohon jadikan ini sebagai panduan

'Cikgu, mak tiri dan ayah dah berpisah, jadi saya dah boleh masuk asramalah?'