TUMPAT- Kompleks Perpaduan Kampung Terbak, di sini semalam bergema suara 800 kanak-kanak bersama ibu bapa mereka membaca serentak selama 10 minit.

Program berkenaan sempena Program Mari Membaca Serentak 10 minit yang diadakan di seluruh negara.

Menariknya di Tumpat, program diadakan melibatkan kanak-kanak Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan kanak-kanak Tabika Perpaduan di daerah ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK), Ruslan Ludin berkata, tahun ini ada kelainan apabila pelancaran inisiatif membaca melibatkan penyertaan kanak-kanak.

“Kita mahu memupuk minat membaca itu dari peringkat rebung lagi, dewan ini bergema dengan suara mereka yang turut menyokong membaca secara serentak ini.

“Walaupun dalam tempoh singkat, ia  dapat membudayakan amalan membaca untuk melahirkan masyarakat yang mencintai ilmu.

“Konsepnya berhenti sebentar dan membaca bersama selama 10 minit.

“Program ini turut diadakan di seluruh sekolah di negeri ini, agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di lokasi masing-masing,” katanya.

Sebelum itu, perasmian pelancaran Program Inisiatif Membaca Serentak Selama 10 minit disempurnakan oleh Isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabedah Ab Hamid.

Ruslan berkata, dianggarkan  500,000 orang menyertai program membaca secara serentak selama 10 minit di negeri ini berbanding tahun lepas hanya 328,999 orang.

“Ada peningkatan kerana tahun ini semua agensi dan sekolah termasuk sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menyertainya.

“Program ini bermula tahun 2014 lagi dan ini adalah kali ke-6 ia dilaksanakan setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, membaca serentak secara 10 minit juga sebagai salah satu aktiviti untuk menyokong Kota Buku Dunia 2020.