TUMPAT - Dua beradik mencipta sejarah melalui hasil tulisan tangan khat mereka apabila berjaya meraih kejuaraan dalam Pertandingan Kaligrafi Khat Peringkat Negeri Kelantan, Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Nik Maghfirah Nik Abdul Rahman, 15, memenangi kategori B, manakala kakaknya, Nik Mawaddah, 17, juara kategori A.

Nik Maghfirah berkata, kemahiran menulis khat diasah melalui bakat ayah mereka, Nik Abdul Rahman Zaki Nik Abdul Kadir, 46, yang juga penulis khat dari Kampung Baru, Pasir Pekan di sini.

“Sejak kecil lagi saya selalu lihat ayah menulis khat, cantik sangat, ia seni yang indah membuatkan kami jatuh hati. “Di usia 8 tahun lagi, manakala kakak di usia 10 tahun, kami sudah pandai menulis khat,” katanya.

Kedua-dua beradik tersebut merupakan pelajar Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu. Nik Maghfirah mahir menguasai khat nasakh dan rikaah, manakala Nik Mawaddah mahir khat thulus dan rikaah.

Ketua juri, Nik Abdul Rahman Nik Abdul Kadir berpuas hati dengan hasil seni khat yang dihasilkan peserta.

Dalam pertandingan itu, juara lelaki kategori A dimenangi Muhammad Amar Zikry Mohamad Fauzi, 16, dan kategori B pula disandang Nik Mohammad Ayyub Sidqi Nik Mohd Yusoff, 15, dan kedua-duanya dari Maahad Muhammadi (Lelaki) Kota Bharu.

Sementara itu, pengerusi pertandingan, Wan Fakrulrazi Wan Mahmood berkata, seramai 96 pelajar dari 27 sekolah di bawah YIK seluruh Kelantan menyertai pertandingan seni kaligrafi khat ini.

Menurutnya, penyertaan tahun ini lebih ramai berbanding tahun sebelumnya dan menyifatkan ia satu perkembangan positif terhadap perkembangan tulisan khat.

“Johan akan mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan nanti yang akan diadakan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, perasmian program disempurnakan oleh ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah di Dewan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab (A) Bustanus Saadah, Kampung Morak.

ARTIKEL MENARIK:

Murid lain bersesak untuk pulang ke rumah tetapi dia bergegas ke surau untuk solat..Allahuakbar

Tiada petua khusus, anggap al-Quran sebagai sahabat sejati - ini kata Farhatul, pelajar SMAP Labu

Murid dapat E dalam ujian, tapi UPSR, keputusan sangat cemerlang..cikgu ini kongsi formula penting

Murid tahun 1 seronok dapat baju sukan baru..keprihatinan guru ini buat netizen menangis

 

 

 

Anda ada cerita menarik untuk dikongsikan kepada kami? Emelkan kepada [email protected]