KUALA KRAI - Rasa tidak sabar untuk meraikan Hari Kebangsaan ke 62 pada penghujung bulan ini menyebabkan guru dan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Tengah, di sini, yang letaknya di kawasan pedalaman sentiasa mengadakan latihan setiap petang selepas habis kelas.

Meskipun masih berbaki 11 hari namun sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih itu seolah-olah tidak sabar disambut oleh kesemua murid sekolah itu.

Guru Besar SK Kampong Tengah, Wan Maznun Wan Yahya berkata, latihan yang diadakan adalah bagi memastikan acara sambutan berjalan lancar.

Beliau berkata selain perbarisan, acara sambutan juga akan dihiasi dengan persembahan sketsa, pertandingan pakaian beragam bermotifkan Hari Kebangsaan dan pelbagai lagi.

"Acara ini turut melibatkan guru-guru serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di mana kita turut menyediakan hadiah kemenangan.

"Sebenarnya kesemua 37 guru dan 475 murid turut dikehendaki menghiasi bilik darjah mereka dengan tema Hari Kebangsaan dan pemenangnya akan menerima hadiah," katanya kepada Bernama ketika ditemui.

Jelasnya walaupun SK Kampong Tengah terletak di kawasan pedalaman namun setiap tahun sambutan Hari Kebangsaan tidak pernah dilupakan mereka.

"Rata-rata ibu bapa pelajar di sini adalah penoreh getah, petani atau berkerja sendiri tetapi itu bukannya alasan untuk kita tidak mendidik anak-anak betapa pentingnya sambutan Hari Kebangsaan.

"Sebagai guru adalah amat penting kita menerapkan semangat cintakan negara kepada murid-murid seawal usia seperti ini," katanya. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

“Kenapa tak nak pergi sekolah?”- Guru prihatin, pujuk murid nangis terus sauk bawa ke kelas

Suara macam artis, memang padu cikgu Muzik ni nyanyi lagu ‘Sumpah’ dalam kelas

Majlis kahwin Cikgu Samuel ‘gempak’, tak sangka 100 murid orang asli sanggup datang buat kejutan