PASIR MAS - Seramai 136 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Mas diberikan penghargaan di atas kehadiran 100 peratus mereka ke sekolah bagi pertengahan tahun 2019.

Pengetuanya, Noor Adlina Gooi Abdullah berkata, penghargaan itu merupakan salah satu usaha menggalakkan pelajar untuk hadir penuh ke sekolah.

Menurutnya, bagi membangkitkan lagi semangat pelajar, pihak sekolah turut menyediakan hadiah istimewa berupa basikal dan lain-lain.

“Hadiah ini kita akan cabut secara undian pada akhir tahun nanti,” katanya kepada media pada Majlis Anugerah Kehadiran 100 Peratus Ke Sekolah di SMK Pasir Mas di sini semalam.

Noor Adlina berkata, beliau berharap ibu bapa dapat memberikan sokongan padu dalam menjayakan usaha pihak sekolah itu.

“Kehadiran penuh (ke sekolah) amat penting kerana ia mampu mengelakkan pelajar ketinggalan dalam pelajaran.

“Ia satu kerugian besar buat pelajar, sebab itulah kita ambil serius perkara tersebut,” katanya.