Tumpat: Figura yang dilihat cacat anggota fizikal kaki tidak pernah menghalang Aktivis Orang Kurang Upaya (OKU) Roslan Ismail, 49, terus gagah menjadi 'hero' dalam menjaga kebajikan komuniti.

Dengan hanya merangkak menjalankan 'amanah', berulang alik menggunakan bot tambang Pulau Seratus ke jeti Kok Majid dekat sini, namun hala tuju hidupnya seperti berlari mengejar rasa tanggungjawab dalam membolehkan beliau membantu semua orang.

"Kerja bersama orang kampung ini mula terdetik apabila ada posmen datang menghantar surat orang lain ke rumah ini, dan ketika itu saya tinggal seorang diri di rumah.

"Dari situ, saya hantar surat-surat tersebut dari rumah ke rumah di Kampung Pulau Seratus... maka tercetuslah rasa saya ingin membantu golongan memerlukan seperti anak yatim, ibu tunggal, OKU, pesakit terlantar dan juga mereka yang mencari peluang pekerjaan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menariknya nama Roslan OKU Pulau Seratus kian dikenali ramai sewaktu banjir Disember tahun lalu, apabila bergabung dengan tokoh kebajikan, usahawan dan sukarelawan terkenal Ebit Liew dan penggiat OKU badan bukan kerajaan (NGO), The 3rd Force, Raja Shamri Raja Hussin.

Roslan berkata, banjir yang melanda pada Disember tahun lalu dan awal tahun ini akhirnya membawa Ebit Liew pada 14 Januari lepas, menyampaikan bantuan dengan kombinasi tiga personaliti kesayangan netizen termasuk dirinya.

"Sekarang kalau ada orang yang memerlukan, saya terus sebarkan melalui kumpulan WhatsApp dan Facebook. Alhamdulillah, ramai orang tanya dan minta nombor telefon keluarga berkenaan dan ramai yang sudah dibantu setakat ini.

"Ini merupakan satu kegembiraan buat saya dan apa yang berlaku dirasakan seperti mimpi, kerana saya mendapat sepenuhnya kepercayaan. Mereka memberikan saya duit dan mengharapkan sepenuh kepercayaan dari saya untuk saya agihkan,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat itu berkata, beliau juga mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak  termasuklah imam masjid, wakil rakyat, Bahagian Pembangunan OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Roslan yang menghidapi polio semasa kecil dan hanya dapat berjalan pada usia lapan tahun berkata, menjadi OKU bukanlah halangan untuk berbakti kepada masyarakat dan boleh buktikan golongan seperti ini juga boleh membantu masyarakat yang normal.

Anak kelapan daripada sembilan beradik tersebut, gemar berkongsi sebarang maklumat dan disalurkan kepada mereka yang berkaitan untuk mereka bertindak dengan lebih pantas. Biarpun batasan pergerakan kaki, tetapi beliau tetap sedaya sedaya upaya membantu orang kampung.

Beliau yang dulu menggunakan motosikal roda tiga kini dihadiahkan dengan sebuah ATV pemberian individu prihatin, yang tahu kepentingan pengangkutan itu kepadanya.

"Minggu lepas, ada hamba Allah berikan saya ATV, tujuannya supaya saya melakukan pekerjaan dengan lebih lancar, kerana sebelum ini saya hanya menggunakan motosikal buruk dan barang pun susah nak letak.

"Hati saya tidak pernah surut ingin berbakti menabur jasa buat orang kampung, sebab saya tahu kampung kami pedalaman, tidak ada jalan darat boleh sampai ke sini. Perlu menyelusuri Sungai Kelantan untuk sampai ke sini. Susah, tetapi Pulau Seratus kini sudah terkenal,” katanya yang cacat anggota kaki sejak kecil.

Atas usaha yang diberikan bertahun-tahun lamanya, kini Roslan banyak menerima anugerah termasuk Anugerah Rakan JobsMalaysia Terbaik (2016, 2017) disampaikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, Anugerah Kelab Nadi Bangsa (1996), Anugerah Sukarelawan YOKUK (2000).

Selain itu, beliau pernah dilantik rakan komuniti JPN Negeri Kelantan oleh Ketua Pengarah JPN (2018), Anugerah Belia Kelantan (2019), menjalani umrah Bersamamu TV3 (2016) dan kini menjadi Ahli Lembaga Yayasan Amal Datuk Zul Wisma, Rakan Komuniti JPN serta Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Pulau Seratus.

 

-- BERNAMA