PASIR MAS - Jawatankuasa Kebajikan Guru dan Kakitangan Maahad Muhammadi Pasir Mas (Kelab Guru MMPM) menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,020 kepada keluarga Nurfatin Yahya yang menjadi mangsa kebakaran 9 April lalu.

Nurfatin yang merupakan pelajar tingkatan satu MMPM bersama keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Lorong Haji Kadir, Kampung Bukit, Wakaf Bharu, dijilat api.

Pengetua, Tajuddin Mamat berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda keprihatinan warga sekolah terhadap Nurfatin dan keluarga.

“Bukan itu sahaja, ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak sekolah.

“Besar harapan kami agar bantuan yang dihulurkan ini mampu meringankan beban Nurfatin dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada Nurfatin dan keluarga.

Turut hadir Bendahari Kelab Guru MMPM, Wan Nor Hanita Wan Yaacob.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi, bapa tiri Nurfatin, Juhar Zakaria, 41 melecur di bahagian lengan kiri ketika cuba masuk semula ke rumahnya untuk mengambil dokumen penting.

Bagaimanapun, usaha Juhar itu gagal apabila api marak dengan cepat.

Namun begitu, Juhar sempat mengejutkan isteri serta enam anaknya berusia 13 hingga dua tahun daripada rentung.

Tajuddin berkata, pihaknya berharap Nurfatin dan keluarga tabah mengharungi dugaan tersebut.

Beliau berkata, walaupun ia agak berat namun Kelab Guru MMPM percaya ada hikmah di sebalik kejadian itu.

“Insya-ALLAH pihak sekolah akan sentiasa memberikan sokongan moral kepada pelajar berkenaan agar tabah mengharungi ujian itu,” katanya.