GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan memperkenalkan konsep tabika transit yang dilihat mampu menyelesaikan masalah ibu bapa yang berdepan tuntutan kerja.

Pengarah Kemas Kelantan, Anuar Mat Zin berkata, konsep ini akan memudahkan urusan ibu bapa kerana mereka tidak perlu lagi menghantar anak-anak ke tempat
asuhan lain.

Menurutnya, dengan adanya tabika transit, ibu  bapa hanya menghantar pada waktu pagi dan mengambil  anak-anak pada waktu petang.

“Konsep ini boleh dilaksanakan di kawasan-kawasan bandar. Jika di Gua  Musang, tiga tumpuan utama adalah di bandar Gua Musang, bandar Chiku dan Paloh.

“Bayaran yang dikenakan pula bergantung kepada setiap  kawasan dari RM100 sehingga RM250 sebulan.

“Kita memberi kelonggaran kepada guru untuk menguruskan sendiri tabika transit atau memberi peluang kepada mereka yang mempunyai kelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Pengarah kepada 103 kakitangan Kemas Daerah Gua Musang di Dewan Merak, Kesedar Inn, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas  Malaysia, Ahmad Kamal Idris.

Dalam pada itu, Anuar  berkata, Kemas membelanjakan lebih RM60 juta setahun bagi keseluruhan kos organisasi tidak termasuk kos utiliti dan baik pulih bangunan.

“Sebanyak RM50 juta dibelanjakan untuk pembayaran  gaji guru, RM5 juta untuk Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) dan RM10 juta untuk perbelanjaan
makanan kering dan basah.

“Secara purata, perbelanjaan setiap kanak-kanak merangkumi  hampir RM300 sebulan. Malah, kita sentiasa berusaha menarik minat ibu bapa agar memilih Kemas sebagai pusat didikan awal untuk anak-anak,” katanya.