TANAH MERAH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu dalam menentukan prosedur operasi standard (SOP) bagi urusan penyelenggaraan bangunan sekolah membabitkan guru.

Menterinya, Dr Radzi Md Jidin berkata perbincangan itu perlu dilakukan untuk menentukan SOP sebenar bagi mengelak kejadian kes seorang guru yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan sebuah sekolah di sini semalam, berulang.

“Kita akan duduk berbincang untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kerana kejadian ini sesuatu yang tidak disangka berlaku dan kita menginsafi kejadian itu.

“Kementerian Pendidikan insya-Allah akan memberikan komitmen yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah di sini, hari ini.

Semalam, seorang guru sekolah itu, Allahyarham Rosli Abdul Aziz, 54, maut selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah ketika sedang memeriksa sistem paip dan sinki sebagai persiapan untuk menerima kemasukan pelajar hari ini.

Kejadian itu berlaku pada pukul 12.30 tengah hari semasa mangsa yang sedang memijak kerusi plastik itu tiba-tiba tergelincir, lalu terjatuh dari balkoni, dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala kerana terkena bucu longkang.

Mengulas perkara itu, Radzi turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan ia suatu ujian yang berat kepada keluarga termasuk semua guru di sekolah berkenaan.

Radzi yang bergegas ke sini dari Kuala Lumpur semalam turut bertemu keluarga dan hadir ke pengebumian selepas subuh tadi.

“Arwah ketika kejadian mahu memantau keadaan agar semuanya berada dalam keadaan baik dan ini merupakan satu dugaan dan perlu diinsafi mengenai kejadian ini,” katanya.

BERNAMA