GUA MUSANG - "Lepas ni, sapa nak bagi duit adik gi sekolah,” luah Nur Damia Sofea Che Azmi, 7, anak bongsu pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 4.10 pagi itu menyebabkan Che Azmi Che Hamzah, 48, dan Nor Hayati Mohamed, 43, maut apabila kereta dinaiki terbabas sebelum merempuh van dipandu, Zulfaizan Muhammad, 43, yang turut meninggal dunia.

Selain Nur Damia, Allahyarham Che Azmi yang bekerja di Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang dan Nor Hayati, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) meninggalkan empat lagi anak, Mohamad Izat Danial, 23, Mohamad Syakir Aiman, 18, Mohamad Faris Faisal,15, dan Mohd Afiq Zulhilmi, 11.

Kemalangan itu mengakibatkan Nur Damia, Mohamad Faris Faisal dan Mohamad Afiq Zulhilmi cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK).

Keratan Sinar Harian kelmarin.

Pasangan suami isteri dan lima anak mereka menetap di Taman Mesra Gua Musang.

Mohamad Izat berkata, adik bongsunya masih bertanya walaupun dia tahu ibunya sudah tiada.

“Saya bersama ibu saudara yang jaga mereka di wad hospital. Semalam (kelmarin) adik tanya, mana ummi, tak datang tengok adik pun. Kami beritahu dia, ummi dan abah dah tak ada.

“Dia menangis dan tanya lagi, lepas ni, sapa nak bagi duit adik gi sekolah. Bila dengar dia cakap macam tu, saya sebak sangat. Adik terlalu kecil untuk faham situasi ini,” katanya.

Dia yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, biarpun dugaan yang terpaksa ditempuhinya itu amat perit, namun dia perlu kuat demi adik-adiknya.

Nur Damia kini dirawat di HKK bersama dua abangnya.

“ALLAH SWT sahaja tahu perasaan saya ketika ini. Kehilangan kedua-duanya dalam sekelip mata. Saya hanya jumpa ummi dan abah pada Aidilfitri lepas. Raya Aidiladha saya tak balik sebab cuti sehari sahaja.

“Paling saya sebak bila adik-adik tanya soalan yang tak mampu saya jawab termasuk masa depan mereka dan kehidupan selepas ini tanpa ummi dan abah. Insya-ALLAH, saya akan jaga adik-adik sebaik mungkin.

"Cuma selepas ini, adik-adik akan dijaga ibu saudara kerana saya perlu teruskan pelajaran,” katanya.

Mohamad Faris Faisal turut cedera dalam kemalangan yang meragut nyawa ibu bapanya Jumaat lalu.

Mohamad Afiq Zulhilmi turut dirawat di HKK akibat kecederaan dialaminya.

Baca:

Hafal fakta buruj Sains (kertas 2) UPSR - 11 nota mudah dan contoh soalan untuk calon ulang kaji 

The 2nd Malaysia International Choral Festival 2019

'Depa terajang, depa sepak belakang' - Murid Tahun Tiga bengkok tulang belakang akibat dibuli

'Saya ditarik ke dalam van, dilibas dengan pisau' - Pelajar nyaris diculik tiga lelaki van putih

'Ramai yang datang beli  ialah guru dan pelajar sekolah' - Tudung Jalur Gemilang laris