PASIR PUTEH - Lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut di sini mengharumkan nama negara setelah muncul pemenang hadiah utama kategori drama pendek pada "Kids Witness News (KWN) Global Contest” di Jepun, minggu lepas.

Sebanyak lapan negara termasuk Tanzania,  Amerika Syarikat, Thailand, Vietnam, Hong Kong, Jepun, Emiriah Arab Bersatu dan Malaysia menyertai pertandingan anjuran Panasonic itu yang diadakan pada 29 Julai hingga 3 Ogos lepas.

"Kami berbangga mewakili negara dan kemenangan itu sangat bermakna menjelang sambutan kemerdekaan negara,” kata Pengetua SMKTJ, Noor Khairiyah Khor Abdullah ketika meraikan kemenangan pelajar berkenaan di sekolah itu, semalam.

Drama berjudul "Treasure” yang berdurasi lima minit satu saat itu berkisarkan penjagaan kebersihan alam sekitar, dilakonkan dua pelajar Tingkatan  Dua, Izz Danial Mohd Hisham yang pemegang watak utama dan Mohamad Alif  Daniel Ganti sebagai pembantu.

Noor Khairiyah berkata ia adalah penyertaan dua tahun berturut-turut sekolah itu ke pertandingan tersebut dan kemenangan kali ini adalah sangat bermakna kerana ia memberi semangat kepada pelajar lain supaya lebih kreatif untuk menempa kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Izz Danial ketika ditemui pada majlis itu berkata, beliau bukan sahaja terharu dengan kemenangan itu tetapi juga berpeluang menjejak kaki ke negara matahari terbit itu.

"Banyak perkara saya dapat sepanjang enam hari berada di Jepun termasuk  diberi peluang melawat pusat penggambaran dan suntingan filem milik Panasonic di Tokyo,” katanya.

Izz Danial berkata pengalaman yang diperolehi itu akan digunakan untuk memantapkan lagi kualiti filem yang dihasilkannya pada masa hadapan. - Bernama

Baca:

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Zikgu Zazolnizam

Enam tip berkesan sebelum duduki peperiksaan

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Cikgu ini kongsi rahsia skor markah mengikut seksyen bahasa Inggeris penulisan UPSR

Guru ini kongsi panduan skor A subjek bahasa Melayu UPSR