PASIR MAS - Anak-anak yatim yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi  (IPT) disaran memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan lagi kecemerlangan mereka dalam bidang pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian,  Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan  negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, bantuan tersebut merupakan salah satu bentuk motivasi kepada penerima untuk terus cemerlang dalam pelajaran pada masa hadapan. 

"Kita mendoakan agar penerima  ini akan terus menempa kejayaan dalam bidang pendidikan. 

"Ini kerana, pendidikan  adalah jalan terbaik dalam membela nasib keluarga dan mengubah kehidupan pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada  pemberita selepas menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada pelajar anak yatim yang berjaya melanjutkan  pelajaran ke IPT  di Dun Pengkalan Pasir.

Menurutnya, bantuan itu memperlihatkan kecaknaan kerajaan  negeri dalam menghargai pelajar cemerlang. 

Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam mengangkat bidang pendidikan di Kelantan menerusi pelbagai bentuk bantuan.

"Selain IPT, kita turut agihkan bantuan persekolahan kepada pelajar- pelajar miskin. 

"Saya amat berharap bantuan yang diterima ini dimanfaatkan sebaik mungkin dengan belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata, selain itu,  bantuan kepada ibu tunggal atau armalah turut disediakan. 

Katanya, bantuan armalah merupakan sebahagian program yang telah dimulakan sejak di bawah kepimpinan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjadi menteri besar.

Beliau berkata, kesemua bantuan itu diberikan dalam  bentuk wang tunai. Katanya, pemberian wang tunai itu bagi membolehkan penerima memanfaatkan secara  terus sumbangan tersebut.