RANTAU PANJANG - Mengajar di sekolah pendidikan khas bukan tugas mudah kerana ia menuntut komitmen tinggi selain memerlukan daya tahan mental serta fizikal yang kuat.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, Ahmad Tarmizi Musa berkata, komitmen tinggi oleh para guru dalam mendidik anak-anak berkeperluan khas amat mengagumkan.

“Saya akui, mengajar anak-anak berkeperluan khas ini merupakan satu pengorbanan hebat apabila perlu menjiwai anak-anak ini.

“Penghayataan itu merangkumi citarasa dan kerenah anak-anak ini yang berlainan daripada pelajar normal lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kelantan kali ke-21 di Lati di sini. Hadir sama ialah, Yang Dipertua PIBG, Mukhtar Mustafa.

Menurutnya, PPD Pasir Mas bertuah apabila mempunyai barisan guru pendidikan khas yang berhati waja dalam menjalankan tugas.

Katanya, perkara itu dapat dilihat apabila anak-anak berkeperluan khas ini sudah mampu berdikari, bergaul dan mempunyai semangat sepertimana pelajar normal lain.

“Inilah hebatnya guru-guru pendidikan khas yang telah menterjemahkan tanggungjawab mereka dengan begitu baik sekali,” katanya.