KOTA BHARU - Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) akan diperluaskan kepada kanak-kanak pra-sekolah seawal umur enam tahun mulai  tahun hadapan.

Penolong Pengarah Unit Inovasi Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia Noorharzuin Halim berkata, ia bagi memberi pendedahan dan pemahaman lebih awal  berkaitan aspek keselamatan di jalan raya.

"Berdasarkan statistik kemalangan PDRM, seramai 73 orang murid berumur antara enam hingga 10 tahun terbabit kemalangan pada tahun 2017.

"Ia satu angka yang besar dan pengenalan PKJR lebih awal adalah langkah amat wajar," katanya pada Majlis Pelancaran Modul PKJR Bagi sekolah Rendah Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Turut  hadir Pemangku Pengarah JKJR Kelantan Hanazainie Hanafi dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Mohd Hassany Hashim.

Modul PKJR dibangunkan secara kerjasama pintar antara Kementerian Pengangkutan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Kementerian Pendidikan dan mula dilaksanakan di semua sekolah rendah bermula 2009 bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang berhemah dan cakna terhadap keselamatan jalan raya.

Norharzuin berkata kesedaran ibu bapa yang masih kurang terhadap keselamatan anak-anak antara punca berlakunya kemalangan yang kadang-kadang membawa kepada kematian.

Katanya berdasarkan kajian MIROS kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dan tali pinggang keledar hanyalah sebanyak 30 peratus pada tahun lepas sedangkan penggunaan alat keselamatan itu mampu mengurangkan impak kemalangan sehingga 70 peratus. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

Ini dia 60 aktiviti bermanfaat selepas UPSR

145 sekolah di Selangor tutup akibat jerebu

'Banyak kali dia minta maaf, risau jika saya tak selesa' - Cikgu ini kongsi sikap bekas muridnya