GUA MUSANG - Derita yang ditanggung kanak-kanak 12 tahun akibat ketumbuhan misteri mendapat perhatian seluruh lapisan masyarakat termasuk pemimpin.

Simpati dengan nasib yang menimpa Muhammad Arshad Daniel Halim, Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Timbalan Menteri Air, Tanah & Sumber Asli, turut tampil menyalurkan bantuan.

Menurut Prof Dr Abg Janal Abidin Abg Junaidi, pihaknya menyedari nasib menimpa kanak-kanak malang itu susulan pendedahan kisah pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Chalil yang dilaporkan akhbar Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga merupakan SUSK kepada Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, kesempitan hidup enam sekeluarga ini akan dirujuk kepada pihak berkaitan.

"Kita akan meneliti kes ini dalam memastikan bentuk bantuan yang diperlukan mereka dengan bantuan agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga NGO.

"Menerusi laporan akhbar, keluarga ini perlu dibantu. Bukan sahaja diuji anak yang sakit, malah ketua keluarga juga meninggal dunia di saat anak-anak masih kecil," katanya selepas dihubungi Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, beliau juga turut menyalurkan sumbangan berupa bekalan makanan dan keperluan harian kepada keluarga ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kisah Daniel menderita penyakit ketumbuhan misteri yang semakin membesar sehingga mengeluarkan air bisa, darah dan nanah.

Anak ketiga daripada lima beradik ini hanya mampu terbaring menahan sakit sejak bulan lalu.

Lebih memilukan, bapanya, Halim Stapa, 49, baharu sahaja meninggal dunia pada 19 Februari lalu akibat kanser usus.

Sementara itu, ibunya, Zariah Wahab, 39, memberitahu, sejak kisah anaknya mula tular, dia turut menerima bantuan daripada rakyat Malaysia yang prihatin.