KOTA BHARU: Pahang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bahas Guru Piala Pusingan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) Peringkat Kebangsaan 2021 yang berlangsung di Hotel Perdana, di sini, semalam.

Kemenangan itu membolehkan pasukan yang dibarisi Ahmad Baihaqi Muhammad Yunus, Mohd Muzammil Ab Rahim, Nasrul  Isyam Abdul Hamid dan Mohd Norhamdan Rosli itu membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, medal dan  sijil.

Lebih manis lagi, peserta dari Pahang, Ahmad Baihaqi turut dipilih sebagai pendebat terbaik sekali gus membawa  pulang hadiah wang tunai RM500, trofi, medal dan sijil.

Tempat kedua pula menjadi milik Selangor manakala Sabah pula dipilih sebagai pemenang tempat ketiga. Masing- masing membawa pulang wang tunai RM4,000 dan RM3,000 berserta medal dan sijil.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin bersempena dengan  pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Mohd Yusof; Pengerusi YGMB, Aminudin Adam  dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Ahmad Baihaqi dipilih sebagai pendebat terbaik Pertandingan Bahas Guru Piala Pusingan YGMB Peringkat Kebangsaan 2021.

Sementara itu, Ahmad Baihaqi berkata, beliau dan kesemua ahli pasukan sudah melihat potensi yang ada dalam diri  setiap peserta dan yakin ia boleh membantu memberikan kemenangan kepada pasukan berkenaan.

"Bahas ini memerlukan kerjasama dalam setiap pasukan bermula daripada aspek membentangkan konsep sehinggalah  kepada penghujahan. Oleh itu, kami merangka strategi untuk menentukan kedudukan pembentangan setiap ahli pasukan  supaya dapat menyerlahkan potensi masing-masing.

"Kami menggunakan strategi sama untuk pusingan saringan sehinggalah kepada peringkat separuh akhir. Bagaimanapun,  kami membuat keputusan menukar strategi pada pusingan akhir memandangkan lawan kami iaitu Selangor bukan lawan  yang biasa sebaliknya memberikan saingan yang cukup hebat," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Pasukan Pahang ketika membahaskan usul di Pertandingan Bahas Guru Peringkat Kebangsaan 2021.

Beliau berkata, kerjasama pasukan itu juga memberikan bonus kepada dirinya apabila dipilih sebagai pendebat  terbaik sekali gus memberikan kepuasan selepas hampir 13 tahun membabitkan diri dalam bidang bahas, sejak  menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2008.

"Bagi pasukan Pahang secara keseluruhannya, latihan intensif dibuat seminggu sebelum pertandingan berlangsung dan  latihan untuk diri sendiri pula tidak pernah berhenti kerana bagi orang yang memang menjiwai bidang bahas ini,  mereka akan menggunakan masa terluang untuk terus mengasah bakat dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel menarik

Tip yang perlu guru buat dan elak dalam bab penampilan, ini senarainya!

Sebelum lepaskan anak-anak ke asrama penuh, ini 8 tip yang perlu mak ayah buat. Mohon hadam