KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menjalankan program 'Back to School' yang bertujuan menangani masalah disiplin dan pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar.

Penolong Pengarah URB/E-Sektor, Bahagian Operasi Darat JPJKK Bukit Aman ACP Ismail Mamat berkata melalui program itu, seorang pegawai kanan dari Bukit Aman akan diminta supaya memilih bekas sekolah mereka untuk menjalankan program serta menyampaikan ceramah.

Beliau berkata selain ceramah, pegawai kanan yang terlibat juga boleh menyampaikan taklimat mengenai kerjaya sebagai polis dan memupuk minat pelajar untuk menyertai pasukan keselamatan itu.

"Program 'Back To School' ini dahulunya dikenali sebagai 'Jom Ke sekolah' yang mana pegawai kanan polis yang dijemput untuk berucap perlu memilih sekolah asal mereka. Kali ini saya sebagai alumni sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 1 amat berbesar hati untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar di sini.

"Dalam pada itu, kami turut mendedahkan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam bidang kepolisan," katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan di SMK Kubang Kerian 1 yang turut dihadiri pengetuanya, Khairiah Sabtu di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Ismail berkata program seumpama ini akan diperluaskan dalam usaha polis bersama sekolah untuk menangani masalah disiplin dan salah laku pelajar.

Beliau berkata sebelum ini polis juga telah menempatkan pegawai dan anggota polis sebagai Pegawai Perhubungan sekolah (PPS) di beberapa sekolah terpilih untuk memantau tahap disiplin di sekolah-sekolah tersebut.

"Setakat ini terdapat sebanyak 96 sekolah rendah dan 37 sekolah menengah di negeri ini yang ditempatkan PPS. Setiap sekolah di negeri ini diminta mempunyai seorang PPS yang selalu ke sekolah di bawah seliaan mereka untuk mengetahui sebarang masalah sosial yang berlaku dan pada masa yang sama boleh menurunkan kadar jenayah.

"PPS ini akan selalu berhubung dengan pihak sekolah sekali gus sebarang masalah akan diketahui dengan lebih awal sebagai langkah pencegahan sebelum masalah menjadi lebih besar," katanya.

Katanya di Kelantan masalah ponteng sekolah adalah yang paling tinggi melibatkan pelajar sekolah berbanding salah laku lain. - Bernama

Baca:

Murid tak datang duduk UPSR, cikgu ini nekad cari di rumah dan apa yang terjadi mengejutkan ramai

Projek baik pulih sekolah daif di Sarawak bermula sejak 5 Ogos

Sekolah di lapan daerah di Sarawak ditutup

Sarawak tunggu dana Persekutuan bagi latih 3,000 guru ajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris

'Rezeki dapat pindah' - Guru dari Sarawak kongsi berita gembira mengenai EGtukar