TUMPAT - Inovasi kreatif panel komposit yang dihasilkan daripada serbuk tempurung nipah hasil ciptaan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat dibawa ke pertandingan Korean International Youth Olympiad (KIYO) 2019.

MRSM Tumpat bersama dua buah sekolah berasrama penuh dari Kelantan mewakili Malaysia untuk bersaing dengan 15 negara di Seoul, Korea, Jumaat ini.

Guru pengiring, Mohammad Rahimi Fitry Ismail berkata, projek inovasi ini dihasilkan secara berkumpulan melibatkan tiga pelajar Tingkatan Tiga dengan bimbingan guru sejak tahun lepas.

"Ia memenangi banyak pingat emas dan layak ke peringkat antarabangsa. Sebelum ini antara pertandingan yang dimenangi pingat emas  adalah International Invention and innovative Competition (InIIC) 2019 di Melaka dan Bujang Valley Innovation, Invention and Design Competition (BVIIEC) 2019 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Kedah," katanya.

Mohammad Rahimi dan Hazim (tengah) menunjukkan panel komposit tempurung nipah yang akan bersaing dengan 15 negara di Seoul, Korea, Jumaat ini.

Mohammad Rahimi Fitry berkata, istimewanya panel komposit serbuk tempurung nipah ini mempunyai kadar serapan air yang rendah hanya 1.88 peratus walaupun direndam seharian serta kukuh.

"Asalnya ia dihasilkan menggunakan serbuk tempurung kelapa sahaja tapi kami membuat penambahbaikkan dengan mencampurkan 30 peratus serbuk tempurung nipah.

"Selepas terhasilnya panel komposit daripada serbuk tempurung nipah ini, kami memenangi banyak anugerah," katanya.

Menurutnya, panel komposit ini juga telah didaftarkan hak paten dan sebuah syarikat perabot berminat dengan keluaran ini namun ia masih dalam rundingan lagi.

Penyertaan ke KIYO diwakili  Mohammad Rahimi Fitry bersama pelajar, Hazim Mohd Izani, 15,  yang akan  membentangkan projek inovasi itu.

Perjalanan mereka berdua ditaja oleh agensi pelancongan Syarikat  Glocal Travel apabila menyumbangkan tiket pergi balik.

Pengurus syarikat, Datuk Mohd Arif Ismail berkata, pihaknya sedia membantu sekolah ini untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia.

"Lagipun sebelum ini syarikat kami banyak membantu untuk menaja tiket bagi keperluan yang sama," katanya.

Artikel berkaitan:

Pelajar SMK Kompleks KLIA juara dunia pertandingan robotik antarabangsa di Turki

Lapan pelajar peroleh pingat perak, gangsa dalam pertandingan antarabangsa

Lima pelajar SMK Tok Janggut terima anugerah antarabangsa pertandingan drama pendek di Jepun

Program pertukaran pelajar erat jalinan antarabangsa sekolah dua buah negara

SMK Puteri wakili Negeri Sembilan ke pertandingan antarabangsa Ogos ini