BACHOK - Seorang pelajar maut manakala kembarnya cedera setelah terlibat kemalangan di Jalan Beris Kubur Kamal, Pauh Sembilan di sini semalam ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Agama (Arab) Muhammadiah, Beris Panchor, Muhammad Farhan Naf’an Faiz, 17, meninggal dunia di tempat kejadian sementara kembarnya yang membonceng motosikalnya, Muhammad Faqih cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan  Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kejadian itu berlaku jam 7.15 pagi ketika dua beradik berasal dari Kampung Tok Jawa itu menaiki motosikal untuk ke sekolah.

Katanya, selepas memotong  motosikal rakan, mangsa cuba membrek motosikalnya bagi mengelak terlanggar  kereta dari arah sama.

“Penekan brek patah menyebabkan motosikal tidak  dapat dikawal dan merempuh bahagian belakang sehingga mereka terjatuh di laluan bertentangan.

“Kereta dari arah  bertentangan berjaya mengelak Muhammad Faqih  tetapi tidak berjaya mengelak  Muhammad Farhan,” katanya.

Katanya, mangsa bersama motosikal dilanggar dan kereta itu terbabas merempuh tiang elektrik.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains  Malaysia Kubang Kerian untuk dibedah siasat manakala  kembarnya mendapat rawatan di klinik kesihatan.

“Sementara itu keduadua pemandu kereta tidak  mengalami kecederaan,” katanya.