Empat puluh penduduk Orang Asli Pos Balar, di sini, hari ini bergotong-royong membaiki jalan rosak dan membina semula empat jambatan sementara bagi memudahkan mereka menghantar anak ke sekolah Kebangsaan (SK) Balar.

Tok Batin, Pos Balar, Alek Busu, 58, berkata, mereka mengadakan gotong-royong selepas dapat mengumpul 300 batang kayu bagi tujuan membina jambatan sementara agar boleh dilalui dengan motosikal untuk menghantar anak ke sekolah.

Beliau berkata oleh kerana hari ini merupakan hari pertama menghantar anak di tahun satu hingga empat menyebabkan penduduk sedaya upaya mengadakan gotong royong untuk membina sementara jambatan yang runtuh sebeum ini akibat banjir lumpur baru-baru ini.

"Kami berharap agar kerajaan dapat membina semula jambatan sementara yang kami bina ini dengan jambatan konkrit yang lebih selamat buat kami menghantar anak” katanya kepada pemberita di sini.

Minggu lepas, lebih 7,000 penduduk Orang Asli di tujuh pos termasuk Pos Balar, Tohoi, Bihai, Simpor, Gob, Belatim dan Hendrop terperangkap setelah jalan di kampung mereka rosak  dan jambatan runtuh susulan hujan lebat.

Seorang penduduk Orang Asli, Aja Along, 40, dari Kampung Perawas, Pos Balar pula berkata, beliau bersama 19 rakan yang lain terpaksa bermalam tinggal di hutan bagi mengumpul 300 batang kayu untuk membina jambatan sementara itu.

"Walaupun jambatan ini tidak boleh bertahan lama tetapi demi pelajaran anak-anak kami buatkan juga jambatan ini dan berharap kerajaan dapat membina jambatan yang lebh baik,” katanya.- BERNAMA