Menggunakan strategi terancang bermula awal tahun menjadi rahsia Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan peroleh peningkatan mendadak dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang diumumkan baru-baru ini.

Pengetua, Mustaffa Chik, berkata, sekolah itu dinobat SMKA kelapan terbaik negara dengan pencapaian gred purata sekolah 2.22 berbanding pencapaian 2018, iaitu 2.65.

"Kami tak sangka tahun ini pencapaian SPM meningkat sebanyak 5.3 peratus dengan 10 pelajar mendapat 11A dan seorang mendapat 9A1," katanya.

Dalam Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, SMKA Naim Lilbanat tersenarai di tempat kedua terbaik manakala kelima terbaik di peringkat negeri.

Mustaffa

Menurut Ustaz Mustaffa, pihak sekolah memulakan inisiatif meningkatkan prestasi pelajar lemah dalam mata pelajaran kritikal seawal bulan Februari lagi.

"Uniknya, kami di SMKA Naim Lilbanat, semua pentadbir mengajar kelas peperiksaan termasuk saya.

"Sepanjang bulan Februari, pelajar lemah akan mengikuti kelas tambahan bermula daripada jam 3.30 petang hingga 5.30 petang manakala kelas akan bersambung pada 9 hingga 10.30 malam.

"Disebabkan pelajar kami ada yang tidak tinggal di asrama, kami mewajibkan mereka untuk menghadiri kelas tambahan tersebut yang diadakan dari hari Ahad hingga Sabtu," katanya.

Jelas beliau lagi, sebaik sahaja aktiviti kokurikulum selesai, iaitu dalam bulan Mac kelas tambahan akan diadakan untuk semua mata pelajaran bagi semua pelajar manakala bagi pelajar lemah, tambahan masa kelas diadakan pada jam 6.45 hingga 7.30 pagi.

Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Mohamad Jusoh menyampaikan slip keputusan SPM kepada pelajar cemerlang, Nurshahida Salleh Huddin

Tiga bulan sebelum peperiksaan SPM, sekali lagi guru-guru SMKA Naim Lilbanat mengambil langkah agresif dengan mewajibkan setiap pentadbir menjadikan calon SPM sebagai anak angkat.

"Calon SPM sekolah ini kesemuanya 142 orang, ini bermakna setiap pentadbir mempunyai lebih kurang 12 orang anak angkat.

"Melalui kaedah ini, pentadbir akan memantau prestasi anak angkat mereka sehinggalah peperiksaan SPM berlangsung," katanya.

Beliau kata, bagi tahun ini pihak sekolah menyasarkan peningkatan gred purata sehingga 1.78.

Demikian kongsi Ustaz Mustaffa mengenai pencapaian cemerlang SMKA Naim Lilbanat dalam keputusan SPM 2019.

Tahniah kepada guru-guru dan pentadbir yang bertungkus lumus tanpa henti bagi memastikan pelajar berjaya dengan cemerlang.

Mohamad menyampaikan keputusan SPM kepada pelajar terbaik SMKA Naim Lilbanat, Nik Haseena Aleema.

Pelajar terbaik SMKA Naim Lilbanat dengan Nik Haseena Aleema Hasnan (dua dari kanan) yang mendapat keputusan 9A+ 1A dan 1A- meraikan kejayaan bersama bapanya, Hasnan Ramli (kanan) dan ibunya Nik Aini Nik Hasan (kiri).