JELI - Di sebalik kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, siapa sangka pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli, Alia Samsul Zamzuri, 18, sebenarnya pernah diperlekeh sehingga mematahkan semangatnya.

Alia yang memperoleh 8A 1B berkata, tidak mahu terus lemah dan membuang masa dengan anasir negatif seperti itu, dia bangkit membina kekuatan sendiri dengan sokongan kedua ibu bapanya.

"Dalam banyak perkara, saya lebih kepada memujuk diri sendiri. Pujuk diri untuk bangkit, kalau orang lain boleh berjaya, kenapa saya tidak? Saya harus buktikan saya juga boleh cemerlang dengan cara dan usaha sendiri.

"Banyak yang saya lalui, diuji dengan penyakit misteri hingga beberapa kali tidak sedarkan diri sepanjang tahun ini, namun alhamdulillah segala kepahitan apabila diterima dengan reda, tetap ada kemanisannya," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, tidak ada rahsia istimewa diamalkan selain sentiasa berdampingan dengan al-Quran dan menjaga hubungan dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.

"Saya juga sentiasa cuba untuk kenal pasti kelemahan dan segera cari cara untuk atasi. Banyak bergaul dengan rakan-rakan yang boleh membantu adalah salah satu pendekatan bagi memperbaiki kelemahan saya," katanya.

Bercita-cita menjadi pensyarah, anak kepada guru Sejarah SMK Jeli, Noraini Hasin ini mengakui, tumpuan ketika di dalam kelas juga antara tips belajar yang diamalkan.

"Saya tak ada waktu belajar khusus tapi setiap malam saya akan belajar dari lepas Isyak hingga jam 2 pagi, selebihnya fokus di dalam kelas," katanya.