BAHAU - PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahau di sini, sedia bekerjasama dengan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan tahap disiplin pelajar.

Timbalan Yang Dipertua PIBGnya, K. Murthy berpendapat bahawa kecemerlangan dalam akademik turut berkait rapat dengan sahsiah pelajar.

“Di usia pelajar ketika ini pastinya perasaan ingin mencuba itu begitu tinggi, jika tiadanya pengawasan boleh terjebak dengan aktiviti tidak sihat.

“Maka dengan itu, PIBG sekolah akan jadi ‘mata-mata’ sekolah bagi mengelakkan perkara itu berlaku termasuklah mengelakkan berlakunya kes buli, gaduh dan lain-lain.

“Di rumah, ibu bapa ada untuk pantauan, di sekolah ada guru, dan di luar sekolah masyarakat juga membantu selain ahli PIBG sendiri,” katanya selepas selesai Mesyuarat Agung PIBG di sekolah itu, baru-baru ini.

Pada majlis sama turut diadakan acara cabutan bertuah. Dalam perkembangan lain, Murthy yang juga Pengerusi MIC cawangan Jalan Kampung Keretapi berkata, beliau sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dengan pihak sekolah dalam mendekatkan diri dengan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Usaha ini bagi mengelakkan ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

“Tidak dinafikan mungkin ada kekangan, namun kita berharap sangat agar ibu bapa tak ambil mudah dengan pendidikan anak-anak kerana inilah cara untuk mereka ubah nasib keluarga melalui pendidikan,” katanya.