KOTA BHARU - SERAMAI 200 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertugas memantau kelancaran sesi persekolahan 24,783 pelajar di 177 sekolah menengah di Kelantan yang bermula semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Se­nior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dua atau lebih pegawai polis berpangkat Inspektor dan ke atas akan bertugas di sekolah bagi melakukan pemantauan berkenaan.

“Penugasan turut membabitkan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang akan memastikan kelancaran lalu lintas,” katanya di sini semalam.

Di KUALA TERENGGANU, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Nornizam Johari yang juga Pegawai Perhubungan Sekolah SMK Sultan Sulaiman di sini berkata, pihaknya bertanggungjawab untuk memantau pematuhan SOP di samping membantu pihak pentadbiran sekolah sekiranya ada keperluan atau isu yang perlu ditangani.

“Pematuhan asas seperti mengambil suhu badan kepada pelajar, guru dan kakitangan sokongan juga dibuat. Pihak kami akan terus memantau secara berkala bagi memastikan keselamatan warga sekolah,” katanya.  

Di PUTRAJAYA, Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali memaklumkan seramai 22 pegawai dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang juga pegawai perhubungan sekolah di 11 sekolah menengah di sini juga digembleng bagi memastikan pematuhan SOP di sekolah sepanjang pelaksanaan PKPP.

Mohd Fadzil beramah mesra dengan pelajar SMK Putrajaya Presint 8 (1) pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan sekolah menengah semalam. FOTO: BERNAMA