RANTAU PANJANG - Pusat Pengajian Tahfiz Darul Falah Pondok Kampung Limau Purut memerlukan bantuan sebanyak RM3 juta untuk membina bangunan tiga tingkat bagi kegunaan pelajarnya.

Pengasas, Zakaria Mohamed berkata, ia perlu dibina bagi menampung pertambahan 150  pelajar.

Menurutnya, kekangan ruang pengajian menyebabkan pendaftaran  baharu terpaksa ditolak.

“Tanpa kemudahan tempat  tinggal, kita mempunyai kesukaran menempatkan guru dan warden.

“Bagi memberi kemudahan kepada pelajar, dewan perhimpunan untuk aktiviti pelajar dan padang permainan juga diperlukan,” katanya.

Sementara itu, mudir, Abu Bakar Mohamed berkata, bagi mencapai hasrat itu pihaknya terpaksa mengumpulkan wang untuk pembelian tanah seluas 2.2 hektar berdekatan pusat pengajian tersebut.

“Selepas bangunan itu siap kelak, kita dapat buat kelas pembelajaran harian dan mengadakan pelbagai aktiviti atau kem Smart al-Quran ketika cuti sekolah,” katanya.

Beliau berkata, ia bukan sahaja mendedahkan anak-anak dari luar Kelantan untuk pengajian al-Quran malah mengisi masa cuti sekolah anak penduduk tempatan dengan aktiviti positif.

Sebarang sumbangan boleh disampaikan kepada Pusat Pengajian Tahfiz Darul Falah, menerusi akaun Bank Islam, 03081010019837 atau Bank Islam (Wakaf) 03081010020113 atau Bank Simpanan Nasional (wang subhah) 0301641000080943.