PASIR MAS - Sekolah Kebangsaan (SK) Kepas terus unggul apabila sekali lagi muncul juara keseluruhan Larian Pasir Mas Ke-11 bagi kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun.

Kejayaan tersebut menyaksikan SK Kepas mempertahan kejuaraan tiga tahun berturut-turut sejak 2015 lalu.

Guru Besarnya, Habsah Hussain mengakui mempertahankan kejuaraan tersebut bukan mudah tanpa sokongan daripada semua pihak termasuklah murid-murid.

“SK Kepas cukup beruntung memiliki jurulatih yang berkaliber iaitu Kamaruzaman Mohd Yamin dan Salwana Mohammad kerana mereka inilah yang bertanggungjawab mengilap serta mengesan bakat dalam kalangan murid-murid,” katanya.

Menurutnya, gabungan dua jurulatih tersebut berjaya meletakkan SK Kepas berada pada kelasnya tersendiri dalam kejohanan tersebut.

Katanya, selain itu, kunci kejayaan SK Kepas turut dipacu oleh Abdul Halim Said dan Zuhanani Muhamad yang bertindak sebagai pengurus pasukan.

“Bukan itu sahaja, peranan Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Ramzu Nazri Yahuda melengkapkan lagi kejayaanSK Kepas dalam acara ini.

“Tidak lupa juga kepada Penolong Kanan Pentadbiran, Zahari Ahmad yang turut turun padang memberikan sokongan kepada murid-murid sekolah berkenaan,” katanya.

Habsah berkata, bagaimanapun dia tidak mahu warga SK Kepas dibuai dengan kejayaan tersebut.

Katanya, kerja keras perlu dilakukan bagi memastikan SK Kepas terus cemerlang dalam lapangan Ko-Kurikulum.

“Bagaimanapun, aspek akademik tetap menjadi keutamaan pihak sekolah. “Ini kerana akademik merupakan tunjang kepada kejayaan masa depan murid-murid,” katanya.