BACHOK -  Kolaborasi antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Perdana dengan Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi pelbagai manfaat kepada pelajar.

Pengarah program, Sharifuddin Murni Wan Ibrahim berkata, program lawatan ke UTM itu bukan sahaja meningkatkan motivasi pelajar, malah mereka juga berpeluang meneroka ilmu baharu.

Menurutnya, lawatan ke universiti dijadikan aktiviti tahunan untuk pelajar pra universiti SMK Dato' Perdana sejak 2014.

"Sebelum ini, kita bekerjasama dengan beberapa universiti seperti Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Sains Malaysia.

"Pelajar mendapat maklumat berguna khususnya berhubung peluang mereka melanjutkan pengajian di universiti," katanya.

Sharifuddin berkata, sepanjang program bersama Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga UTM baru-baru ini, pelajar mengikuti kuliah, amali makmal dan mesra pelajar bersama siswa-siswa.

"Saya berharap pelajar pra universiti sekolah ini memanfaatkan program lawatan itu sebaik mungkin," katanya.