RANTAU PANJANG - “Pulanglah kakak.. umi tak marah. Umi tegur bukan sebab benci atau marah, umi buat begitu sebab sayangkan kakak,".

Itulah rayuan seorang ibu kepada anaknya, Zulaikha Balqis Asmadi, 16, yang menghilangkan diri tanpa sebarang jejak sejak 3 Januari lalu.

Zuraidah Abdul Salam, 40, berkata, anak ketiga daripada  tujuh beradik itu menghilangkan diri selepas diberi nasihat mengenai tingkah lakunya.

"Ketika kejadian rumah saya serta penduduk di Kampung  Rahmat bergelap akibat  ketiadaan bekalan elektrik.

"Saya ingatkan dia mendengar nasihat itu, maklumkan dalam suasana yang gelap-gelita. Zulaikha Balqis seorang penakut, jadi saya hairan kenapa dia tidak datang
ke tempat kami sedang berkumpul yang mempunyai cahaya pelita," katanya.

Menurutnya, dia kemudian terus ke bilik anaknya itu  untuk membuat pemeriksaan dan terkejut mendapati Zulaikha Balqis tiada.

Katanya, pada peringkat  awal dia beranggapan Zulaikha Balqis telah pergi ke rumah datuknya yang terletak di bahagian belakang.

"Zulaikha Balqis sering ke rumah datuknya setiap kali  merajuk, namun kali ini dia tiada di situ. Saya ingatkan dia berada di kawasan sekitar.

"Namun pada keesokan  harinya, Zulaikha Balqis tidak pulang dan selepas 24 jam  saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis," katanya.

Zuraidah berkata, usaha mencari anaknya itu sudah  dijalankan oleh seluruh ahli keluarga namun setakat ini  masih belum menemui sebarang petunjuk.

Katanya, hari ini genaplah seminggu Zulaikha Balqis menghilangkan diri.

"Saya juga telah melakukan  solat hajat, supaya Zulaikha Balqis berada dalam keadaan selamat.

"Sebagai ibu saya tidak putus-putus berdoa semoga dia pulang dengan selamat. Saya amat sayangkan dia," katanya.

Orang ramai yang mempunyai  maklumat atau pernah terserempak dengan  Zulaikha Balqis boleh menghubungi Zuraidah di talian 018-2311889.

Sementara itu, Ketua Polis  Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad  Piah mengesahkan  menerima laporan berhubung perkara itu dan kes  tersebut disiasat di bawah orang hilang.