PASIR MAS - Maahad Muhammadi Pasir Mas (MMPM) muncul johan pertandingan bahas Bahasa Melayu ala Parlimen peringkat negeri Kelantan anjuran Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Penyelaras pasukan, Shaidah Sulaiman berkata, kejayaan itu membolehkan pasukan MMPM membawa pulang hadiah termasuk medal dan sijil penghargaan sekali gus layak ke majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-sekolah Agama Malaysia peringkat kebangsaan pada Julai nanti.

“Dalam pertandingan ini, pasukan bahas MMPM menewaskan pasukan dari Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.

“Kemenangan ini di luar jangkaan kami dan alhamdulillah hasil latihan serta usaha peserta ia membuahkan kejayaan,” katanya.

Barisan pendebat MMPM terdiridaripada Nur Hasni Othman, Nurul Aikal Mohd Ropi, Mumtazatul A’liyah Mohd Affandy dibantu Rosezaneey Rosdi dan Asmat Husna Ayob.

Shaidah berkata, lebih membanggakan apabila Mumtazatul A’liya muncul sebagai pendebat terbaik.

“Saingan memang cukup sengit, namun semangat tinggi yang ditunjukkan pasukan ini mampu menunjukkan kehebatan berbahas dengan yakin,” katanya.